Oleh : Noraini Aminuddin & Profesor Madya Dr. Hariyaty Ab Wahid (FPE)

Foto : Cik Amalina Ezrina Chamal Hamid

Tanjong Malim, 18 Jun 2025 – Sidang Editor International Business Education Journal (IBEJ), Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Bengkel Pengurusan Jurnal IBEJ bertempat di Bilik Seminar 3, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi.

Bengkel ini berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 1.30 petang dan melibatkan penyertaan seramai 11 orang peserta yang terdiri daripada Ketua Editor, editor, dan pembantu operasi IBEJ, serta seorang penceramah jemputan.

Bengkel ini bertujuan memberi pendedahan dan latihan secara hands on kepada Ketua Editor, sidang editor baharu serta lama mengenai aspek pengurusan jurnal secara terancang.  

Latihan penggunaan sistem Open Journal System (OJS) yang menjadi platform utama penerbitan IBEJ diberikan secara komprehensif.

Bengkel ini merupakan salah satu inisiatif strategik bagi memastikan setiap ahli sidang editorial memahami peranan mereka dan dapat melaksanakan tugas-tugas editorial secara cekap, berkesan serta sistematik.

Bengkel ini turut membincangkan berkaitan hala tuju IBEJ sebagai persediaan ke arah permohonan indeks SCOPUS yang disasarkan pada tahun akan datang.

Kandungan utama bengkel ini meliputi sesi pengenalan kepada IBEJ, pembentangan hala tuju jurnal, penjelasan mengenai peranan dan tanggungjawab sidang editorial, serta penerangan teknikal mengenai proses submission, review, copyedit, dan publication melalui sistem OJS.

Turut dikupas adalah gerak kerja pengurusan jurnal untuk sesi penerbitan 2026, pemurnian skop dan strategi meningkatkan sitasi jurnal IBEJ.

Bengkel ini menampilkan En. Mohd Shahrizal Mohamad Ridzuan, selaku Penceramah Jemputan merangkap Managing Editor IBEJ, yang didatangkan khas dari Pejabat Karang Mengarang (PKM) UPSI untuk berkongsi pengalaman dan amalan terbaik dalam mengurus penerbitan jurnal berindeks.

Ketua Editor IBEJ, Prof. Madya Dr. Hariyati binti Ab Wahid
Penceramah Jemputan, selaku Managing Editor IBEJ, En. Mohd Shahrizal bin Mohamad Ridzuan

Bengkel ini turut dihadiri oleh Yang Berusaha Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi FPE, Profesor Madya Dr. Azila binti Abdul Razak.

Penganjuran bengkel ini diharapkan dapat memperkukuh struktur dalaman dan kecekapan kerja editorial IBEJ serta meningkatkan kualiti penerbitan jurnal secara keseluruhan.

Perkara ini adalah sejajar dengan aspirasi fakulti untuk memperkasa dan menjulang IBEJ sebagai jurnal tersohor dalam bidang pendidikan perniagaan di peringkat antarabangsa.