Oleh : Dr. Siti Shuhaida Shukor

Tanjong Malim, 31 Julai – Seramai 2,815 pelajar semester akhir dan graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menghadiri sesi taklimat penting berkaitan Survei Pengalaman Pelajar di Institusi (SPPdI), Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) dan SKPG 2.0 yang dianjurkan secara dalam talian menerusi Google Meet dan siaran langsung Facebook EDGE UPSI.

Taklimat telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah EDGE, Dr. Siti Shuhaida Shukor, manakala Puan Nora Liza Abdul Kadir selaku Penyelaras GE EDGE bertindak membantu dari aspek teknikal sepanjang sesi.

Program dua jam ini bertujuan memberikan pendedahan kepada pelajar dan graduan tentang tiga instrumen utama yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi mengumpul data pengalaman pembelajaran dan kebolehpasaran graduan secara sistematik dan berskala besar.

SPPdI yang diperkenalkan mulai 2025 menyasarkan pelajar semester akhir, manakala SKPG dan SKPG 2.0 pula wajib diisi oleh semua graduan yang telah mendapat kelulusan Senat, termasuk yang belum berkonvokesyen atau telah menangguhkan pengajian.

Sesi berjalan lancar dengan penglibatan aktif peserta melalui sesi soal jawab yang interaktif, mencerminkan tahap kesedaran yang tinggi terhadap kepentingan pengisian data ini bagi membantu kerajaan merangka dasar pendidikan tinggi berdasarkan bukti.

Pelaksanaan SPPdI di UPSI akan bermula secara berperingkat pada 1 Ogos 2025 menerusi jemputan SMS oleh Bahagian Hal Ehwal Akademik (BHEA), manakala SKPG dan SKPG 2.0 akan diumumkan melalui pelbagai saluran rasmi termasuk emel, Telegram, dan media sosial EDGE.

Dr. Siti turut memaklumkan bahawa sesi susulan akan diadakan khusus untuk pelajar antarabangsa pascasiswazah UPSI dalam masa terdekat. Pelajar dan graduan disarankan untuk sentiasa peka terhadap hebahan rasmi dan mengisi instrumen melalui portal yang ditetapkan seperti https://graduan.mohe.gov.my/SPPdI, https://graduan.mohe.gov.my/skpg25 dan https://graduan.mohe.gov.my/update.

Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan kepada EDGE UPSI melalui emel edge@upsi.edu.my atau talian 05-450 5195/5006.