Oleh: En. Wan Zul Adli bin Wan Mokhtar, En. Mohd Faisal bin Mohd Yassin, Ts. Dr. Afiq Radzwan, ChM. Dr. Aisyah Mohamad Sharif dan ChM. Dr. Maizatul Najwa Jajuli.
Ipoh, 26 Jun 2025 – Pusat STEM UPSI dengan kerjasama unit Stargazers UPSI, Malaysian Bioeconomy Development Corporation dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah berjaya menganjurkan aktiviti Sun Gazing sempena program SPARKSCIENCE – STI100³: Nurturing Young Scientist 2025, yang berlangsung pada 25 dan 26 Jun 2025.
Dua buah sekolah telah terlibat sebagai lokasi pelaksanaan, iaitu SK Kampung Pasir Puteh, Ipoh (25 Jun) dan SMK Seri Teja, Gopeng (26 Jun), dengan aktiviti dijalankan bertempat di sekolah masing-masing.


Program ini merupakan usaha bersepadu dalam memperkasakan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar dan aktiviti cerapan astronomi.
Sebagai sebahagian daripada pengisian program, Stargazers UPSI telah diberikan ruang khas untuk mengendalikan slot Cerapan Matahari (Sun Gazing), hasil kolaborasi erat antara Pusat STEM UPSI dan MOSTI.
Slot ini telah dikendalikan oleh fasilitator Stargazers UPSI, iaitu En. Wan Zul Adli bin Wan Mokhtar, En. Mohd Faisal bin Mohd Yassin, dan Ts. Dr. Afiq Radzwan, serta dibantu oleh beberapa orang pelajar UPSI yang turut berperanan sebagai pembantu fasilitator.



Para murid diberi peluang mencerap Matahari secara langsung menggunakan dua buah teleskop khas yang dilengkapi penuras solar, termasuk sebuah teleskop pintar (smart telescope).
Selain itu, mereka turut diperkenalkan kepada struktur Matahari dan konsep asas optik melalui demonstrasi interaktif menggunakan kanta pembesar dan kanta cembung.
Seramai 60 orang murid Tahun 5 dari SK Kampung Pasir Puteh dan 80 orang pelajar Tingkatan 1 dari SMK Seri Teja telah menyertai program ini.
Sambutan yang diterima amat menggalakkan, dengan penglibatan aktif daripada murid dan guru. Menurut salah seorang guru yang terlibat, “Melihat Matahari secara dekat di depan mata serta mengesan bintik Matahari (sunspot) adalah sesuatu yang menakjubkan dan sukar dilupakan oleh murid-murid kami.”



Hasil program ini dapat dilihat apabila program astronomi mendapat sambutan yang luar biasa, menunjukkan minat pelajar terhadap bidang ini adalah sangat tinggi.
Pendekatan pembelajaran luar bilik darjah yang interaktif dan praktikal ini berjaya menarik minat pelajar terhadap bidang astronomi dan sains angkasa, sekali gus meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pendidikan STEM sejak peringkat awal persekolahan.
Pelaksanaan program ini juga selaras dengan teras BITARA 2.0, yang menekankan pengukuhan kolaborasi komuniti, keterlihatan nasional, dan pengupayaan pendidikan masa depan, sebagaimana digariskan oleh Naib Canselor UPSI, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff.
Inisiatif berimpak tinggi ini membuktikan komitmen UPSI sebagai peneraju kecemerlangan pendidikan negara melalui penglibatan aktif bersama komuniti dan usaha menyemai minat terhadap sains angkasa dalam kalangan generasi muda.
