Oleh: Dr. Vestly Kong Liang Soon dan Nor Athirah binti Alias
Besut, 1 Ogos 2025 – Persatuan Mahasiswa Program Pendidikan Khas (PM2PK) dan Jabatan Pendidikan Khas telah mengadakan Lawatan Sosial ke Besut, Terengganu. Tujuan bagi menyantuni dan menyerahkan sumbangan khas untuk keluarga allahyarhamah Nurly Sahirah binti Azman dan Saudari Lily Suzana binti Mat Ya’acob.
Pada 9 Jun 2025, seluruh warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dikejutkan dengan tragedi kemalangan bas yang melibatkan 42 mahasiswa UPSI. Dua daripadanya adalah mahasiswa AT10. Sebagai respons, PM2PK telah membuka kutipan sumbangan untuk membantu keluarga arwah Nurly Sahirah binti Azman dan Lily Suzana binti Mat Ya’acob. Lawatan ini diketuai oleh Dr. Vestly Kong Liang Soon bersama ahli PM2PK yang tinggal berdekatan.

Sumbangan ini bukan sahaja berupa bantuan kewangan tetapi juga bertujuan memberi sokongan moral dan emosi kepada keluarga yang terlibat. Aktiviti ini dirancang secara bersama oleh Dr. Vestly Kong Liang Soon selaku penyelaras PM2PK dengan sokongan ahli-ahli persatuan.
Lawatan ini merupakan contoh keprihatinan PM2PK dalam menyatakan solidariti dan semangat persaudaraan kepada ahli komuniti yang sedang menghadapi cabaran hidup. Bagi keluarga arwah Nurly Sahirah binti Azman lawatan ini diharap dapat menjadi kenangan manis bersama anak mereka yang pernah menjadi sebahagian daripada warga UPSI. Ujar bapa arwah Nurly Sahirah beliau sangat berterima kasih dengan sumbangan yang diberikan serta gembira dengan kehadiran kami semua.
Sementara itu, bagi Saudari Lily Suzana binti Mat Ya’acob kehadiran rombongan ini diharap dapat memberi kekuatan dan semangat untuk terus tabah. Pada kesempatan tersebut, Dr. Vestly Kong Liang Soon yang juga merupakan penyelaras PPG AT10 sempat membimbing Saudari Lily Suzana binti Mat Ya’acob mengenai pelaksanaan program PPG (Program Perantis Guru) yang berlangsung sepanjang Julai hingga Ogos 2025.

Lawatan ini juga merupakan sebahagian daripada agenda PM2PK untuk melahirkan mahasiswa yang tidak hanya cemerlang dalam bidang akademik dan profesional tetapi juga prihatin terhadap masyarakat. Sumbangan dan lawatan ini membuktikan bahawa semangat kepedulian sesama insan terus terpelihara dalam kalangan mahasiswa UPSI.

Sumbangan ini mencerminkan peranan PM2PK sebagai sebuah persatuan yang aktif bukan hanya dalam bidang akademik tetapi juga dalam menjaga kesejahteraan komuniti. Semoga usaha kecil ini memberi makna yang besar kepada penerima. PM2PK percaya bahawa setiap usaha kecil yang dilakukan dengan ikhlas mampu memberi perubahan besar dalam kehidupan orang lain, membina masyarakat yang lebih penyayang dan bersatu hati.
