oleh: Dr Ebby Waqqash Mohamad Chan
Setia Alam, 18 Oktober 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melakar satu lagi kejayaan apabila menerima pengiktirafan rasmi sebagai Pusat Kecemerlangan Industri Sukan – Teras Tadbir Urus di bawah Pelan Industri Sukan Negara (PISN) oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Majlis pengiktirafan ini diadakan sempena ASEAN Sports Industry Expo 2025 yang berlangsung mulai 17 hingga 19 Oktober 2025 di Setia City Convention Centre, Setia Alam.


Watikah pengiktirafan disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, dan disaksikan oleh YB Puan Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan.
Pengiktirafan ini merupakan pengiktirafan terhadap komitmen dan kepakaran UPSI dalam memperkukuh tadbir urus, kepimpinan serta pembangunan industri sukan negara.


Dalam ekspo berprestij tersebut, Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK), Pusat Kokurikulum, dan UPSI Holding turut menyertai pameran bagi mempamerkan kepakaran, inovasi serta inisiatif UPSI dalam memperkasakan ekosistem industri sukan negara.
UPSI terus komited dalam menerajui pembangunan industri sukan melalui tadbir urus yang cekap dan kolaborasi strategik bersama Kementerian Belia dan Sukan serta rakan industri demi kemajuan sukan Malaysia.
