Gambar semua ajk Countdown To Deepavali dengan ajk Persatuan Bahasa TamilGambar semua ajk Countdown To Deepavali dengan ajk Persatuan Bahasa Tamil

oleh: Nadiah Azhar

Kolej Ungku Omar, 16 Oktober 2025 – Sambutan Perayaan Deepavali kembali menyinari suasana Kolej Ungku Omar melalui Program Countdown To Deepavali 2025.

Program ini berlangsung pada 16 Oktober, anjuran Exco Uniti dan Diversiti, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar dengan kerjasama erat Persatuan Bahasa Tamil, UPSI.

Ali Azizi Yang Dipertua Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar berucap
Rangoli
Booth henna 

Program ini diadakan bagi menyambut perayaan Deepavali bersama seluruh warga Kolej Ungku Omar dalam suasana penuh harmoni dan meriah.

Sambutan ini bukan sahaja menjadi platform untuk pelajar berbilang kaum bergembira bersama, tetapi turut memperkukuh semangat perpaduan dan keharmonian antara kaum.

Dalam masa yang sama, pelajar berpeluang mengenali adat serta tradisi masyarakat India yang kaya dengan nilai budaya.

Secara tidak langsung, program ini menyemai semangat hormat-menghormati, toleransi dan kekitaan dalam kalangan warga kolej tanpa mengira agama dan bangsa.

Booth makanan
Sathiyamalar Paramasivan Yang Dipertua Persatuan Bahasa Tamil berucap
Ali Azizi Yang Dipertua Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar, Hasya  Hayazi Pengarah Program dan Sathiyamalar Paramasivan Yang Dipertua Persatuan Bahasa Tamil

Menurut Saudara Ali Azizi, Yang Dipertua Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar, program ini merupakan inisiatif bagi meraikan para pelajar berbangsa India yang tidak berkesempatan pulang ke kampung halaman, agar mereka tetap dapat merasai kemeriahan dan kehangatan sambutan Deepavali bersama rakan-rakan kolej.

Selain itu, penganjuran program ini turut mencerminkan semangat perpaduan serta kebersamaan dalam kalangan warga Kolej Ungku Omar.

Persiapan program telah berlangsung sehari awal di mana Jawatankuasa Program bersama-sama menyediakan ‘Rangoli’, iaitu seni lantai tradisional masyarakat India yang dihasilkan menggunakan beras yang berwarna-warni.

Aktiviti ini bukan sekadar menonjolkan keindahan dan kehalusan seni budaya masyarakat India, malah turut menjadi lambang keharmonian dan semangat kerjasama dalam kalangan ahli jawatankuasa yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Corak Rangoli yang dihasilkan dengan penuh teliti dan kreativiti bukan sahaja menjadi tarikan utama para pengunjung, tetapi juga melambangkan semangat perpaduan, keceriaan dan cahaya kegembiraan yang menyinari sambutan Deepavali kali ini.

Pelbagai booth menarik turut disediakan sepanjang program berlangsung antaranya Booth ‘Henna’, Booth ‘Gelang dan Perhiasan’, Photobooth ‘Dress To Impress’, Booth ‘Deepavali Knowledge’, Booth ‘Kuih Tradisional’, dan Booth ‘Pembelajaran Bahasa Tamil’.

Booth Henna dan booth Kuih Tradisional mencuri perhatian ramai apabila mendapat sambutan hangat daripada pengunjung yang tidak putus-putus, menambahkan lagi kemeriahan program Deepavali ini.

“Sambutan Deepavali merupakan suatu perayaan yang penuh dengan warna-warni dan disinari oleh cahaya yang melambangkan kemenangan menentang kuasa kejahatan.

Melalui program Countdown To Deepavali 2025 ini, kami berpeluang untuk memperlihatkan kepada semua warga kolej bagaimana masyarakat India menyambut perayaan ini di samping dapat mengekalkan tradisi yang diamalkan turun-temurun setiap kali tibanya perayaan Deepavali,” ujar Sathiyamalar Paramasivan, Yang Dipertua Persatuan Bahasa Tamil yang turut menzahirkan rasa bangga dan gembira kerana dapat berkongsi keindahan budaya dan tradisi masyarakat India bersama warga Kolej Ungku Omar.

Program ini membuktikan bahawa perbezaan bukanlah halangan, sebaliknya satu kekuatan yang menyatukan warga kolej di bawah cahaya yang sama.

Dalam pancaran sinar Deepavali, terpancar semangat perpaduan, kasih sayang dan keharmonian yang mengikat seluruh warga kolej sebagai satu keluarga besar. Semoga cahaya ini terus menyinari langkah kita semua, menyalakan obor kebersamaan dan kasih antara kaum yang akan terus menyala, bukan hanya pada musim perayaan, tetapi sepanjang masa.