Oleh: Hanis Sofea Binti Ahmad Fuaad & Dr. Ahmad Sauffiyan Bin Abu Hasan
Karnival Badan Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris 2025 memberi ruang kepada Kempen Eco Campus 360 untuk menjalankan Kempen Mini Ecolab UPSI: Reka Solusi Kampus Lestari, bertempat di Gerbang Suria, Arena Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI. Kempen ini dijalankan di bawah anjuran Pelajar Tahun Akhir Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Komunikasi Sosial) bagi projek tahun akhir mereka.
Tujuan utama kempen mini dijalankan bagi meningkatkan kesedaran alam sekitar dalam kalangan mahasiswa dan seluruh warga UPSI. Terdapat 2 reruai utama yang dibuka bagi mempamerkan 2 jenis prototaip yang mengetengahkan isu kelestarian alam sekitar. Prototaip yang pertama merupakan prototaip daripada mahasiswa Fakulti Sains dan Matematik yang dinamakan sebagai STEM Centre. Prototaip ini mengetengahkan konsep binaan rumah dan bangunan yang dapat menyerap karbon daripada dibebaskan dan mengakibatkan penipisan lapisan ozon.
Selain itu, prototaip yang kedua dihasilkan oleh mahasiswa daripada Fakulti Teknikal dan Vokasional. Prototaip ini lebih menjurus ke arah pertanian moden yang dapat mengoptimumkan tenaga dalam pertanian. Aqualens merupakan sistem baharu yang diperkenalkan bersama dengan sistem solar yang dapat membantu penjanaan mesin pertanian Aqualens ini.
Seramai lebih daripada 100 orang yang melawat reruai ini dan berpuas hati dengan penjelasan daripada para ahli jawatankuasa yang terlibat. Pengarah Program, Hanis Sofea berkata inisiatif ini dijalankan bagi menyokong hasrat Kempen Eco Campus 360 UPSI, yang ingin mempelbagaikan kreativiti dalam kalangan mahasiswa dan warga kampus dalam menyelesaikan masalah alam sekitar. Reruai ini juga mendapat kunjungan dan pujian daripada Yang Berbahagia Profesor Dato’ Dr. Md Amin Bin Md Taff, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris dan juga Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI.
Antara tarikan lain yang menjadikan reruai ini mendapat perhatian adalah Board ‘My Green Promise for UPSI’. Pengarah program berkata usaha ini dijalankan bagi menzahirkan janji dan rasa cinta alam sekitar daripada seluruh warga UPSI.
