oleh: Nurizzah Syahirah Mohd Rahim
Sabah, 19 Disember 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus komited dalam melahirkan barisan pemimpin mahasiswa yang berdaya saing, berwawasan serta mempunyai semangat perpaduan yang tinggi melalui penyertaan aktif dalam program kepimpinan peringkat kebangsaan.
Selaras dengan aspirasi tersebut, UPSI telah menghantar seramai lima (5) orang wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) untuk menyertai Student Leaders Solidarity Camp 2025 yang telah berlangsung pada 16 hingga 19 Disember 2025 bertempat di Koisaan Cultural Village (KCV), Penampang, Sabah.
Program ini menghimpunkan pemimpin pelajar dari pelbagai institusi pengajian tinggi sebagai platform memperkukuh jaringan kepimpinan, perpaduan dan kefahaman antara budaya.
Penyertaan MPP UPSI dalam Student Leaders Solidarity Camp 2025 adalah bertujuan untuk memperkukuh kemahiran kepimpinan dan kerja berpasukan dalam kalangan pemimpin pelajar, memupuk semangat solidariti, perpaduan dan toleransi antara pemimpin mahasiswa dari pelbagai latar belakang, memberi pendedahan kepada kepimpinan berteraskan nilai kebangsaan, kenegaraan dan kebudayaan. serta membina jaringan kerjasama strategik antara Majlis Perwakilan Pelajar institusi pengajian tinggi seluruh negara
Pembantu Menteri Kabinet Sabah, YB Jordan Jude Ellron berkata, kepimpinan pelajar merupakan asas penting dalam pembentukan pemimpin masa hadapan negara.
“Program seperti Student Leaders Solidarity Camp menjadi medium terbaik untuk memupuk nilai perpaduan, kefahaman budaya dan semangat kebangsaan.
“Pemimpin muda perlu bersedia memikul tanggungjawab sosial dan memainkan peranan aktif dalam pembangunan masyarakat serta negara,” katanya.
Program ini menjadi wadah penyatuan pemimpin pelajar pelbagai latar belakang dalam membina kepimpinan yang berintegriti dan berteraskan perpaduan.
Sepanjang pelaksanaan program, para peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti berimpak tinggi merangkumi latihan kepimpinan, aktiviti kebudayaan, perbincangan kumpulan serta aktiviti luar yang menekankan semangat kerjasama dan toleransi.



Kemuncak program diserikan dengan Majlis Penutup yang telah disempurnakan oleh YB Jordan Jude Ellron, Pembantu Menteri Kabinet Sabah.
Pada majlis tersebut, Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris Sidang 2025/2026, Nurul Huda Ashikin telah menerima Unity Ambassador Award (Kategori Wanita) sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan kepimpinan cemerlang dalam memperjuangkan nilai perpaduan dalam kalangan mahasiswa.
Penyertaan MPP UPSI dalam Student Leaders Solidarity Camp 2025 membuktikan komitmen universiti dalam melahirkan pemimpin mahasiswa yang holistik, berdaya saing serta berjiwa nasional. Diharapkan pengalaman dan ilmu yang diperoleh sepanjang program ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkukuh kepimpinan pelajar dan membawa impak positif kepada komuniti kampus UPSI.

