Oleh: Intan Zulaikha Mahamud Khushairi
TANJONG MALIM, 11 Januari 2026 – Majlis Penutupan Program Step Of Kindness telah diadakan bagi menandakan penutupan rasmi serta merumuskan keseluruhan pelaksanaan program larian lima kilometer secara dalam talian, Step Of Kindness, yang berlangsung selama dua minggu bermula 1 Disember hingga 14 Disember 2025.
Majlis penutupan tersebut telah dirasmikan oleh Penasihat Persatuan Geografi (PERGEO), Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Mohamad Ihsan bin Muhamad Ismail. Program ini turut dihadiri rakan kerjasama, iaitu Kelab Geoinformatik Universiti Teknologi MARA (UTM), serta pemenang-pemenang program larian berkenaan. Majlis telah berlangsung dari pukul 2 petang hingga 5 petang.
Step Of Kindness: Virtual Run merupakan program larian secara dalam talian yang dianjurkan selama dua minggu oleh Exco Kebajikan, Kekeluargaan dan Kemasyarakatan PERGEO (WELFEX) dengan kerjasama Kelab Geoinformatik UTM. Penganjuran program ini bertujuan mengumpul dana amal bagi membantu golongan memerlukan, khususnya anak-anak yatim, menerusi aktiviti sukan yang sihat.
Program ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 4, iaitu memastikan kehidupan yang sihat dan menggalakkan kesejahteraan untuk semua peringkat umur. Selain menggalakkan gaya hidup sihat, program ini turut memberi peluang kepada peserta untuk melakukan amal kebajikan melalui penyertaan mereka.
Program ini menyasarkan seramai 250 peserta, terdiri daripada 100 mahasiswa UPSI, 100 mahasiswa UTM dan 50 orang awam. Namun begitu, sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila program ini berjaya menarik seramai 378 peserta keseluruhan. Seramai 20 orang pemenang telah diumumkan, terdiri daripada 10 peserta UPSI dan 10 peserta UTM.


Pemenang yang mendapat tempat keenam hingga ke-20 menerima hadiah saguhati berupa beg dan sijil penghargaan, manakala pemenang johan hingga tempat kelima menerima beg, sijil penghargaan serta medal. Selain itu, setiap peserta yang menyertai program ini turut menerima e-sijil penyertaan serta mata Champ atau merit UTM.
Hasil kutipan dana yuran pendaftaran peserta berjumlah RM1,157.51 akan disumbangkan sepenuhnya kepada rumah kebajikan anak-anak yatim, iaitu Pusat Jagaan Kausar, Negeri Sembilan. Program penyerahan sumbangan tersebut dirancang untuk dilaksanakan pada 11 April 2026.

Dalam pada itu, aktivis-aktivis UTM turut berpeluang merasai pengalaman beriadah dan berkelah di kawasan Sungai Bil, Tanjong Malim sebelum menghadiri majlis penutupan. Pergerakan bas dari UTM bermula pada pukul 11 malam dan tiba di Sungai Bil pada pukul 8.30 pagi. Selepas aktiviti berkelah dan beriadah, mereka meneruskan perjalanan ke Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), UPSI bagi menghadiri majlis penutupan.
Kehadiran delegasi UTM turut disambut oleh PERGEO dengan aktiviti bersiar-siar dan lawatan ke beberapa lokasi menarik di sekitar KSAS, UPSI. Aktivis-aktivis UTM kemudiannya bertolak pulang ke UTM pada pukul 5.30 petang sejurus selesai majlis penutupan program.

Secara keseluruhannya, Program Step Of Kindness: Charity Virtual Run berjaya mencapai objektifnya dalam mengumpul sumbangan orang ramai melalui aktiviti sukan yang sihat serta mengeratkan hubungan silaturahim antara pihak kolaboratif. Program seumpama ini diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai wadah memperkukuh ukhuwah dan bakat dalam kalangan mahasiswa.
