Oleh: Dr Nik Muhammad Hanis Bin Nek Rakami dan Dr Mohd Afifi Bahurudin

Tanjong Malim, 6 Februari 2026   – Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menerima kunjungan delegasi Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) bagi mengadakan mesyuarat strategik yang memfokuskan kepada program latihan dan peningkatan kompetensi pensyarah.

Mesyuarat yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Professional FPM ini mencerminkan komitmen kedua-dua institusi dalam memperkukuh kualiti pengajaran dan pembelajaran (PdP) melalui pembangunan profesional berterusan.

Pemilihan UPSI sebagai rakan kerjasama adalah berasaskan reputasinya sebagai institusi pendidikan bitara yang bukan sahaja melahirkan graduan pendidik berkualiti, malah menawarkan modul latihan profesional kepada pakar pendidikan.

Kerjasama ini bertujuan memperkasa kompetensi pensyarah IKMAS melalui pendedahan kepada teknik PdP yang lebih efektif, inovatif dan selari dengan perkembangan pedagogi semasa. Inisiatif ini juga diharap dapat meningkatkan kualiti pengalaman pembelajaran pelajar serta memperkukuh ekosistem pendidikan di IKMAS..

Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Dekan Fakulti Pembangunan Manusia, Prof. Dr. Abdul Talib. Delegasi IKMAS diketuai oleh Puan Zaizurina binti Mansor, Pengarah IKMAS bersama Puan Ariffi Idawati binti Zainudin, Timbalan Pengarah IKMAS. Turut hadir ialah Ustaz Mohd Hanafi bin Yusof dan Encik Mohd Ezzuddin bin Mohamad.

Pihak UPSI pula diwakili oleh barisan kepimpinan akademik fakulti termasuk Dr. Mohd Afifi Bahurudin (Ketua Jabatan Pengajian Pendidikan), Dr. Nik Muhammad Hanis Nek Rakami (Pengurus SBU FPMXcell JPP), Dr. Zahari Suppian (Penyelaras Diploma Pascasiswazah Pendidikan Tinggi), Dr Nik Mohd Zaki Nik Mohamed, (Penyelaras Pedagogi dan Dr. Muhammad Ihsan Rokeman (Penyelaras IZONE) dan perbincangan strategik ini membuka peluang kerjasama yang luas antara UPSI dan IKMAS, khususnya dalam bidang latihan perguruan, pemantapan pedagogi serta pembangunan profesionalisme tenaga pengajar.

Melalui kerjasama ini, pensyarah IKMAS dijangka berupaya mengintegrasikan pendekatan pengajaran terkini bagi memastikan mereka kekal relevan dan berdaya saing dalam mendepani cabaran pendidikan masa kini.

Menurut Ketua Jabatan, Dr Mohd Afifi Bahurudin, kerjasama ini menunjukkan komitmen tinggi pihak Jabatan Pengajian Pendidikan dalam memberi khidmat serta menawarkan kepakaran kepada agensi pendidikan tinggi yang lain untuk sama-sama meningkatkan kualiti pendidikan tinggi di Malaysia, selari dengan aspirasi YB Menteri Pendidikan Tinggi.

“Kami tawarkan program -program meningkatknan kompetensi pensyarah-pensyarah iaitu menerusi Program Diploma Pasca Siswazah Pendidikatn Tinggi (DPPT), Sijil Professional Pendidikan dan program-program latihan yang berkaitan.”

Inisiatif ini diharapkan menjadi titik tolak kepada kolaborasi yang lebih erat dan mampan antara UPSI dan IKMAS. Jalinan strategik ini bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan modal insan berkualiti, malah memperkukuh kecemerlangan institusi pendidikan dalam melahirkan pendidik kompeten untuk masa hadapan.