oleh: Adibah Yasmin Abdul Razak
IPOH, 11 Februari 2026 – Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) UPSI telah mengadakan kunjungan hormat ke Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) bagi pembentangan kedua kertas cadangan mewujudkan sumber dana khusus untuk penubuhan Pusat Penyelidikan Baitulmal dan ’Adat Melayu di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Pembentangan tersebut diketuai oleh Pengarah WEZAS, Prof. Madya Dr. Mohd Abdul Nasir Abd Latiff, yang menekankan kepentingan pembangunan dana mampan melalui instrumen wakaf, zakat, khairat dan sumber sokongan strategik lain sebagai asas kukuh kepada penubuhan pusat berkenaan. Pendekatan ini bertujuan memastikan kelestarian kewangan jangka panjang selaras dengan prinsip tadbir urus kewangan Islam yang telus dan berimpak tinggi.
Pihak MAIPk yang diwakili oleh Ketua Pegawai Pengurusan, Bakri Lee, menyambut baik cadangan tersebut serta menyatakan komitmen untuk meneliti bentuk kerjasama yang dapat memperkukuh sinergi antara institusi agama negeri dan institusi pengajian tinggi.
Penubuhan pusat ini dicadangkan sebagai rujukan dan penyelidikan dalam bidang baitulmal dan ’adat Melayu, khususnya dalam konteks Negeri Perak.
Antara peranannya termasuk menjalankan penyelidikan berkaitan pengurusan zakat, wakaf dan harta (mal), menerbitkan penulisan ilmiah, menyediakan latihan profesional serta menawarkan perkhidmatan perundingan dalam bidang kepakaran berkaitan.

Selain memperkasa pembangunan ilmu, pusat ini juga dijangka menjadi platform strategik bagi memperkukuh dasar dan amalan pengurusan dana Islam secara lebih sistematik dan berinovasi, sekali gus memastikan kelestarian sumber dana demi kesejahteraan ummah.
Kolaborasi ini mencerminkan komitmen bersama dalam memartabatkan baitulmal dan ’adat Melayu melalui pendekatan akademik, penyelidikan berstruktur serta pengurusan dana yang mampan dan berintegriti.

