Oleh : Izni Hairina Mohamad dan Mohamad Basri Jamal
Tanjong Malim, 12 Disember 2025 – Program Aspire AT58: Menyinar bersama Kecemerlangan anjuran Persatuan Pengajian Malaysia (PPMas) sidang 2025/2026, Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris yang diterajui oleh pengarah program iaitu Nurul Wahida Abdullah telah meninggalkan kenangan yang besar kepada mahasiswa/i AT58.
Program ini merupakan program penganugerahan sijil dan pengiktirafan khas yang bertujuan untuk mengiktiraf dan meraikan mahasiswa/i AT58 Ijazah Sarjana Muda Pengajian Malaysia dengan Pendidikan yang berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang pada semester akademik A241 dan A242 bagi batch Dato Sagor, Abdul Rahim Kajai dan Usman Awang yang bertempat di Dewan Kuliah Pusat 6, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.



Program ini merupakan satu inisiatif bermakna dalam menghargai usaha dan pencapaian pelajar AT58 bukan sahaja dari segi akademik malah penglibatan aktif dalam pelbagai bidang.
Penganugerahan sijil dan pengiktirafan khas seperti Anugerah Citra Cendekiawan memberi suntikan motivasi kepada pelajar supaya terus berusaha mencapai kecemerlangan secara holistik.
Program ini membuktikan bahawa kejayaan pelajar tidak diukur melalui keputusan peperiksaan semata-mata sebaliknya turut merangkumi kejayaan dalam aspek kepimpinan, sahsiah, dan sumbangan kepada komuniti kampus.



Pengiktirafan yang diberikan telah meningkatkan keyakinan diri pelajar serta menyemai rasa dihargai atas usaha yang sering dilakukan di sebalik tabir.
Sepanjang proses pelaksanaan Program Aspire AT58: Menyinar Bersama Kecemerlangan, pelbagai peringkat perancangan telah dijalankan secara tersusun dan sistematik bermula dengan beberapa siri mesyuarat jawatankuasa di atas talian.
Mesyuarat awal berfungsi sebagai platform perbincangan hala tuju program, pembahagian tugasan serta penetapan objektif agar pelaksanaan program dapat dijalankan dengan lancar dan menepati matlamat yang ditetapkan.
Setiap ahli jawatankuasa memainkan peranan masing-masing dengan penuh komitmen dan rasa tanggungjawab.



Selain itu, sesi latihan dan raptai program (rehearsal) turut dilaksanakan bagi memastikan atur cara majlis berjalan mengikut perancangan.
Rehearsal ini melibatkan penyusunan perjalanan majlis, latihan pengacara, penyampaian anugerah serta penyelarasan aspek teknikal seperti sistem bunyi dan pencahayaan.
Melalui sesi ini, setiap ahli jawatankuasa dapat memahami peranan masing-masing dengan lebih jelas sekali gus meningkatkan tahap kesiapsiagaan sebelum program sebenar berlangsung.
Tambahan pula, beberapa jam sebelum program bermula majlis tertinggi dan ahli jawatankuasa program bertungkus lumus menghiasi pentas mengikut tema program iaitu retro untuk menghidupkan susasana kemeriahan semasa program.
Kesungguhan dan disiplin yang ditunjukkan oleh semua ahli jawatankuasa sepanjang proses persiapan ini membuktikan komitmen tinggi dalam memastikan Program Aspire AT58: Bersinar Bersama Keceeemerlangan ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Walaupun berhadapan dengan kekangan masa dan komitmen akademik, semangat kerja berpasukan antara ahli jawatankuasa yang kukuh telah menjadi tunjang utama kejayaan program ini.
Program ini juga telah dirasmikan oleh Penasihat Pengajian Malaysia (JPM) iaitu Mohamad Basri Jamal dan diiringi dengan Ketua Jabatan Pengajian Malaysia (JPM) iaitu Dr. Muhammad Nadzir Ibrahim, Pensyarah Kanan JPM iaitu Dr. Nurzaimah Asalal dan pensyarah JPM iaitu Norshahrul Marzuki Mohd Nor.
Semasa merasmikan program, Mohamad Basri Jamal juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua mahasiswa/i AT58 yang telah berjaya dengan cemerlang dan telah menabur bakti kepada Jabatan Pengajian Malaysia (JPM) dan Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) dalam pelbagai aspek kejayaan.
Beliau juga memberikan kata-kata semangat dan ransangan kepada semua mahasiswa/i AT58 supaya kekal konsisten dalam pencapaian akademik dan penyertaan dalam program-program kepimpinan dan insaniah supaya dapat membentuk mahasiswa/i yang kreatif, berdaya saing dan holistik.
Program Aspire AT58: Menyinar Bersama Kecemerlangan bukan sahaja tertumpu kepada penyampaian sijil dan penganugerahan semata-mata malah turut diserikan dengan sesi persembahan sebagai elemen selingan bagi memeriahkan suasana majlis.
Persembahan nyanyian yang disampaikan oleh pelajar AT58 telah berjaya mencetuskan suasana yang lebih santai dan harmoni sekali gus mengimbangi aspek formal program dengan elemen hiburan yang berunsur mendidik.
Sesi persembahan ini bukan sahaja menjadi medium untuk mencungkil bakat seni dalam kalangan mahasiswa/i malah memberi ruang kepada pelajar untuk mengekspresikan kreativiti dan keyakinan diri.
Kehadiran elemen persembahan tersebut secara tidak langsung menyumbang kepada suasana program yang lebih hidup serta mengeratkan hubungan antara para pelajar yang menjadikan majlis anugerah ini lebih bermakna dan memberi kesan mendalam kepada semua pensyarah dan pelajar yang terlibat.
Sepanjang berlangsungnya program, suasana yang penuh inspirasi dan penghargaan jelas terpancar dalam kalangan para penerima anugerah dan semua pelajar.
Setiap sijil yang disampaikan bukan sahaja melambangkan kejayaan malah menjadi simbol pengorbanan, disiplin dan komitmen pelajar dalam menempuh cabaran kehidupan sebagai mahasiswa.
Pengiktirafan ini secara tidak langsung menyuntik semangat dan keyakinan diri kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan pada masa hadapan.
Selain itu, Program Aspire AT58 turut memberi kesan positif dalam membentuk budaya persaingan sihat serta semangat saling menyokong dalam kalangan pelajar. Ia menjadi sumber motivasi kepada mahasiswa/i lain untuk memperbaiki potensi diri sama ada dalam bidang akademik, kepimpinan mahupun khidmat masyarakat.
Program ini membuktikan bahawa kejayaan seseorang pelajar mampu menjadi inspirasi kepada kejayaan rakan-rakan yang lain.
Selain meraikan kecemerlangan pelajar, Program Aspire AT58: Menyinar Bersama Kecemerlangan turut berperanan sebagai medium penting dalam mengeratkan hubungan silaturahim antara pelajar daripada batch yang sama mahupun berlainan batch.
Interaksi yang terjalin sepanjang program sama ada melalui sesi persiapan, penglibatan sebagai ahli jawatankuasa atau kehadiran sebagai peserta serba sedikit membuka ruang komunikasi yang lebih terbuka dan bermakna dalam kalangan mahasiswa/i.
Melalui komunikasi yang berkesan dan suasana program yang inklusif, pelajar berpeluang bertukar pandangan, berkongsi pengalaman serta membina jaringan hubungan yang lebih luas.
Hubungan yang terjalin ini bukan sahaja dapat mengukuhkan semangat kekitaan dalam kalangan pelajar malah mampu memupuk rasa saling menghormati dan bekerjasama antara generasi mahasiswa yang berbeza sekali gus menyumbang kepada pembentukan komuniti kampus yang harmoni dan bersatu.
Secara keseluruhannya, Program Aspire AT58: Menyinar Bersama Kecemerlangan telah berjaya dilaksanakan dengan lancar dan mencapai objektif yang ditetapkan.
Program ini bukan sahaja menjadi platform penghargaan terhadap pencapaian pelajar melalui penyampaian sijil dan anugerah malah berfungsi sebagai medium pembinaan sahsiah, pengukuhan komunikasi serta pemerkasaan hubungan sesama mahasiswa daripada pelbagai batch.
Penganjuran program ini jelas mencerminkan komitmen Persatuan Pengajian Malaysia dalam melahirkan mahasiswa/i yang seimbang dari segi akademik, kepimpinan dan nilai kemanusiaan.
Diharapkan nilai kecemerlangan, semangat kerjasama dan inspirasi yang dicetuskan melalui program ini akan terus disemai dan menjadi pemangkin kepada kejayaan pelajar pada masa akan datang selaras dengan aspirasi universiti dan pembangunan mahasiswa holistik.
