Oleh: Farah ‘Aqilah Fa’iz
Tanjong Malim, Perak, 18 Mac 2026 – Dalam usaha menyemarakkan sambutan Aidilfitri serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan penghuni Kolej Kediaman Harun Aminurrashid (KHAR), Exco Blok Kediaman 4, Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) Sidang 2025/2026 telah menganjurkan Program Transition Raya: “Raya Penuh Gaya”.
Program ini dilaksanakan secara hibrid yang merangkumi penyertaan dalam talian serta majlis penutup secara bersemuka.
Program ini terbuka kepada semua penghuni KHAR dan penghuni diberi peluang untuk menghasilkan video kreatif bertemakan suasana persiapan dan transformasi Aidilfitri mengikut kreativiti masing-masing.
Aktiviti ini bertujuan memupuk semangat kebersamaan, meningkatkan kreativiti serta menghidupkan kemeriahan sambutan Hari Raya dalam kalangan warga kolej kediaman.


Pelaksanaan program bermula pada 18 Mac hingga 28 Mac 2026, di mana peserta telah membuat pendaftaran serta memuat naik video penyertaan ke dalam pautan Google Drive yang disediakan oleh pihak penganjur.
Seterusnya, semua video penyertaan telah dimuat naik ke akaun media sosial rasmi program sepanjang tempoh 29 Mac hingga 3 April 2026 bagi tujuan tontonan umum serta penilaian.
Majlis penutup bagi program ini telah berlangsung pada 4 April 2026, dimulakan seawal jam 7.30 pagi dengan ketibaan Ahli Jawatankuasa Pelaksana dan persiapan tempat, diikuti sesi pendaftaran peserta.
Majlis diteruskan dengan ketibaan Felo Blok Kediaman 4 iaitu Encik Muhamad Rusham bin Rustan Nursim, sebelum acara rasmi dimulakan dengan ucapan alu-aluan pengerusi majlis dan bacaan doa.
Seterusnya, ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh Pengarah Program, Noor Hanis Hazwani Mohd Riduan.
Kemudian, majlis diteruskan dengan sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang sebagai tanda penghargaan atas kreativiti dan komitmen peserta dalam menjayakan program ini.
Program diakhiri dengan sesi fotografi bersama barisan jemputan dan peserta sebelum majlis bersurai pada jam 9.25 pagi.


Secara keseluruhannya, penganjuran Program Transition Raya: “Raya Penuh Gaya” telah berjaya mencapai objektif dalam menggalakkan penglibatan aktif penghuni kolej melalui aktiviti kreatif berteraskan sambutan Aidilfitri.
Program ini bukan sahaja mengeratkan hubungan komuniti kolej, malah turut mewujudkan suasana yang ceria, harmoni dan bersemangat kekeluargaan dalam kalangan penghuni KHAR.
