Oleh: Aiman Hariz Dan Saiful Aliff

HULU SELANGOR, 16 April 2026 – Unit AURORA, Pusat Kokurikulum, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah memeterai Surat Hasrat Kerjasama bersama Kolej Komuniti Hulu Selangor (KKHS) dalam usaha memperkukuh kolaborasi strategik khususnya dalam bidang pengembaraan pelancongan.   

Pemeteraian surat hasrat ini merupakan langkah signifikan dalam meningkatkan kerjasama kedua-dua institusi, selari dengan usaha memperkasa pembangunan komuniti serta memperluas peluang pendidikan berasaskan pengalaman. Melalui kolaborasi ini, kedua-dua pihak bersetuju untuk melaksanakan pelbagai inisiatif bersama pada masa hadapan.

Menurut Penyelaras Pendidikan Aurora, Dr. Azi Azeyanty Jamaludin, skop kerjasama yang dipersetujui merangkumi perkongsian kepakaran, peralatan dan kemudahan fasiliti, pelaksanaan latihan serta pensijilan dalam bidang berkaitan, membangunkan program pembangunan insan dan penglibatan dalam aktiviti penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan.

Selain itu, kerjasama ini juga turut memberi penekanan kepada aktiviti kemasyarakatan serta pembangunan usahawan setempat di samping membuka ruang kepada pelaksanaan program lain yang dipersetujui bersama. 

Majlis pemeteraian surat hasrat ini telah disempurnakan oleh wakil kedua-dua institusi, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh jaringan kerjasama strategik. Usaha ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan sektor pelancongan serta memperkasa peranan institusi pendidikan dalam menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh.