Sesi fotografi mahasiswa UPSI bersama delegasi UMBY di hadapan Pasar SeniSesi fotografi mahasiswa UPSI bersama delegasi UMBY di hadapan Pasar Seni

Oleh: Nurul Insyirah Zubir (UPSI)  dan M.Saifudin Zuhri Ngabdullah (UMBY)

KUALA LUMPUR, 11 April 2026 – Program Inbound Mobility UPSI dan UMBY diteruskan pada hari ketiga dengan pengisian lawatan sekitar ibu kota Kuala Lumpur yang melibatkan penyertaan mahasiswa dari Universitas Mercu Buana Yogyakarta (UMBY).

Program ini merupakan salah satu inisiatif antarabangsa UPSI dalam memperkukuh jaringan kerjasama global melalui mobiliti pelajar.

Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti telah dirancang bagi memberi pendedahan menyeluruh kepada peserta, bukan sahaja dalam aspek akademik, malah merangkumi pengalaman budaya dan sosial di Malaysia.

Lawatan hari ketiga ini bertujuan untuk memberikan peluang kepada para peserta antarabangsa untuk mengenali ikon utama negara serta memahami keunikan budaya dan pembangunan bandar di Kuala Lumpur.

Nurul Insyirah bersama tiga orang pelajar Universitas Mercu Buana Yogyakarta (UMBY) di Petrosains
Sesi fotografi delegasi UMBY di KLCC sebagai kenang kenangan
M. Saifudin Zuhri Ngabdullah berpeluang mencuba permainan interaktif di Petrosains yang menggabungkan elemen sains dan teknologi.

Selain itu, aktiviti ini turut berperanan sebagai medium untuk mengeratkan hubungan antara mahasiswa UPSI dan UMBY melalui pengalaman bersama di luar bilik kuliah.

Aktiviti dimulakan dengan kunjungan ke Menara Berkembar Petronas (KLCC), yang merupakan antara mercu tanda paling ikonik di Malaysia. Para peserta berpeluang merakam gambar kenangan sambil menikmati pemandangan sekitar kawasan tersebut yang mencerminkan kemajuan pesat negara.

Salah seorang peserta UMBY, Olivia Gizelle Mareta Dewani, (berada di posisi kedua dari kanan), menyifatkan pengalaman melihat Menara Berkembar Petronas secara langsung sebagai satu momen yang sangat bermakna dan menggambarkan identiti Malaysia.

M. Saifudin Zuhri Ngabdullah Ketua Mahasiswa UMBY bersama mahasiswa UPSI
Sesi fotografi bersama mahasiswa UPSI dan delegasi UMBY di Menara Berkembar Petronas (KLCC)

“Momen yang paling menggambarkan negara ini ialah ketika ketika melihat menara ikoniknya, Menara Berkembar Petronas KLCC, yang menjadi simbol kebanggaan negara Malaysia,” katanya.

Seterusnya, rombongan meneruskan lawatan ke Petrosains sekitar jam 10 pagi. Lawatan ini memberi peluang kepada peserta untuk meneroka pelbagai pameran interaktif yang berteraskan sains dan teknologi, sekaligus menjadikan pembelajaran lebih menarik dan menyeronokkan.

Menurut Olivia, pengalaman di Petrosains merupakan antara yang paling memberi kesan sepanjang lawatan di Kuala Lumpur kerana konsepnya yang interaktif serta sesuai untuk semua peringkat umur.

Dalam pada itu, wakil Mahasiswa UMBY, M. Saifudin Zuhri Ngabdullah, yang berada di posisi kedua dari kiri dalam gambar, turut berkongsi pandangannya berhubung pengalaman lawatan tersebut. Beliau turut menyifatkan pengalaman di Petrosains sebagai menarik dan membuka minda kerana pendekatannya yang interaktif serta menggabungkan elemen pendidikan dan teknologi.

Lawatan hari ketiga diteruskan dengan kunjungan ke Pasar Seni sebagai destinasi terakhir. Di sini, para peserta berpeluang mengenali dengan lebih dekat elemen seni dan budaya tempatan melalui pelbagai gerai yang menawarkan kraf tangan, pakaian tradisional, aksesori serta cenderamata unik Malaysia.

Suasana di Pasar Seni yang meriah dengan elemen seni visual dan aktiviti budaya memberikan pengalaman yang berbeza kepada para peserta. Mereka bukan sahaja membeli cenderamata, malah turut meluangkan masa berinteraksi secara santai serta merakam gambar kenangan bersama rakan-rakan, sekaligus memperlihatkan keakraban yang semakin terjalin sepanjang program berlangsung.

Secara keseluruhannya, pengisian hari ketiga Program Inbound Mobility ini bukan sahaja memberikan pengalaman lawatan yang bermakna kepada para peserta, malah berjaya mencapai objektif dalam memperkukuh hubungan persahabatan antarabangsa serta memperluas pemahaman budaya antara mahasiswa UPSI dan UMBY.

Program seperti ini diharap dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai platform berkesan dalam melahirkan mahasiswa yang berfikiran global dan berdaya saing.