Oleh: Nurfarisha Amalia Mohd Zaki
TANJUNG MALIM, 23 MEI 2026 – Persatuan Himpunan Mahasiswa Anak Kelantan (HIMSAK) di bawah Exco Perhubungan Awam, Lawatan dan Alumni (PAA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya menganjurkan “Program Jalinan Anak Kelantan: Survival Hidup di Perantauan” secara dalam talian menerusi platform Google Meet dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Kelantan Darul Naim (PERDANA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Program berbentuk santai tetapi penuh pengisian ini berjaya menghimpunkan mahasiswa dan mahasiswi anak Kelantan dari UPSI dan UKM untuk berkongsi pengalaman serta cabaran hidup sebagai pelajar perantauan.



Program ini dianjurkan bertujuan memberi ruang kepada mahasiswa untuk berkongsi pengalaman, cabaran dan strategi dalam menyesuaikan diri sepanjang berada jauh daripada keluarga dan negeri asal. Selain itu, program ini turut menjadi medium terbaik dalam memperkukuh ukhuwah dan jaringan kerjasama antara mahasiswa Kelantan dari UPSI dan UKM agar dapat membentuk komuniti mahasiswa yang saling menyokong antara satu sama lain.
Antara individu yang memeriahkan program ialah Mohammad Afiq Bin Hashim selaku Mantan Yang Di-Pertua HIMSAK 22/23 dan Muhammad Hakim Danial Bin Samiun selaku Mantan Presiden PERDANA 23/24 yang dijemput sebagai panel jemputan bagi sesi perkongsian pada malam tersebut. Tidak dilupakan juga kepada moderator iaitu Muhammad Azraie Haiqal Bin Mohd Azman. Perkongsian mereka banyak menyentuh aspek pengurusan kewangan, budaya hidup berdikari, penyesuaian sosial dan kepentingan menjaga identiti budaya serta agama walaupun berada jauh dari kampung halaman. Kata-kata semangat dan pengalaman yang dikongsikan nyata memberi inspirasi kepada para peserta untuk terus cekal dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran kehidupan sebagai mahasiswa. Kerjasama erat antara HIMSAK UPSI dan PERDANA UKM berjaya mewujudkan suasana perbincangan yang mesra, santai dan penuh manfaat kepada semua peserta yang hadir.
Kemuncak program menyaksikan jumlah penyertaan seramai 299 orang peserta yang terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi UPSI dan UKM. Jumlah tersebut berjaya melebihi sasaran asal program iaitu seramai 200 peserta yang melibatkan 100 mahasiswa UPSI dan 100 mahasiswa UKM. Kehadiran yang amat memberangsangkan ini jelas membuktikan sambutan positif mahasiswa terhadap program berbentuk motivasi dan perkongsian santai seperti ini. Para peserta turut diberikan peluang mengemukakan pelbagai soalan kepada panel jemputan menerusi sesi soal jawab yang berlangsung secara aktif dan interaktif.
Selain memberi motivasi dan inspirasi kepada mahasiswa, program ini turut membantu peserta memahami kepentingan membina komuniti sokongan sesama anak perantau. Semangat kebersamaan yang dipamerkan sepanjang program membuktikan bahawa mahasiswa bukan sahaja mampu cemerlang dalam akademik, malah berupaya membentuk hubungan ukhuwah yang kukuh demi kesejahteraan bersama. Di akhir program, sesi fotografi maya dan nyanyian lagu Anak Kandung Suluh Budiman menjadi penutup penuh bermakna sebelum majlis bersurai. Walaupun program dijalankan secara dalam talian, impak yang terhasil amat besar dalam memperkukuh semangat kekeluargaan, meningkatkan keyakinan diri dan melahirkan mahasiswa yang lebih berdaya tahan dan saling membantu dalam menempuhi kehidupan di perantauan.
