Oleh: Mohd Faizal Basri, Mohd Asri Mohd Noor dan Nor Azrin Md Latip
KUALA LUMPUR, 20 Ogos 2026 – Ketua Pegawai Eksekutif Asian Institute of Insurance (Aii), Encik Paul Low Hong Ceong, telah dilantik sebagai Profesor Adjung Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai sebahagian daripada usaha fakulti memperkukuh jaringan strategik antara akademia dan industri, khususnya dalam bidang insurans dan perkhidmatan kewangan.
Surat pelantikan tersebut telah diserahkan secara rasmi oleh Pengarah Akademik dan Antarabangsa UPSI, Profesor Madya Dr. Mohd Asri Mohd Noor, kepada Encik Paul Low dalam satu pertemuan di Asian Institute of Insurance, Bangunan AICB, Kuala Lumpur pada 20 Ogos 2026. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ketua Jabatan Perakaunan dan Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE), Profesor Madya Dr. Mohd Faizal Basri.
Pertemuan tersebut turut menjadi platform perbincangan awal mengenai potensi kerjasama strategik antara FPE UPSI dan Aii.
Pelantikan Encik Paul Low mengambil kira pengalaman luas beliau dalam industri perkhidmatan kewangan dan insurans. Beliau mempunyai lebih 30 tahun pengalaman antarabangsa merangkumi bidang insurans, pengurusan risiko, pengurusan dana dan kekayaan serta perancangan kewangan.
Kerjaya beliau bermula di Amerika Syarikat bersama institusi kewangan antarabangsa sebelum kembali ke Asia dan memegang pelbagai jawatan kepimpinan kanan di Malaysia dan China. Sepanjang kerjayanya, beliau pernah menerajui dan memegang peranan kepimpinan dalam beberapa organisasi termasuk Etiqa Life Insurance Berhad, Manulife Wealth Advisors, AmLife Malaysia, SBB Mutual dan BHLB Pacific Trust.
Pada masa ini, beliau merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Aii, sebuah organisasi profesional yang memberi tumpuan kepada pembangunan pengetahuan, profesionalisme dan kepimpinan dalam industri insurans. Aii, yang dahulunya dikenali sebagai Malaysian Insurance Institute (MII), turut memainkan peranan dalam pembangunan kompetensi dan profesionalisme tenaga kerja industri insurans di Malaysia serta rantau Asia.
Pelantikan beliau sebagai Profesor Adjung dijangka dapat memberi nilai tambah kepada FPE UPSI melalui perkongsian pengalaman industri, pembangunan kurikulum, pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan serta pembangunan kompetensi pelajar dalam bidang insurans dan perkhidmatan kewangan.
Kepakaran beliau juga relevan dengan usaha FPE untuk memastikan program akademik sentiasa responsif terhadap perubahan landskap industri kewangan, termasuk perkembangan digital, pengurusan risiko, pembangunan bakat serta keperluan kemahiran masa hadapan.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak turut membincangkan beberapa potensi kerjasama strategik antara FPE UPSI dan Asian Institute of Insurance, termasuk penglibatan pakar industri dalam aktiviti akademik, pembangunan profesional pelajar dan staf, perkongsian kepakaran serta peluang untuk memperluas jaringan antara universiti dengan industri insurans.
Kerjasama ini diharapkan dapat memberi pendedahan yang lebih luas kepada pelajar mengenai perkembangan sebenar industri, selain membantu merapatkan jurang antara pengetahuan akademik dengan kompetensi profesional yang diperlukan dalam pasaran kerja.
Pelantikan Encik Paul Low turut memperkukuh usaha FPE UPSI membina jaringan bersama pemimpin industri dan badan profesional sebagai sebahagian daripada komitmen fakulti untuk melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing serta bersedia menghadapi perubahan dalam sektor kewangan dan insurans.

