Oleh: Nadia Shahira Amiruddin & Nor Azura Yusofe
Tanjong Malim – National Child Development Research Centre (NCDRC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengadakan Majlis Peluncuran Bulan Kemerdekaan Ke-69 pada 21 Ogos 2026 bertempat di Dewan Jauhar NCDRC, UPSI Kampus Sultan Azlan Shah. Majlis yang bermula pada jam 8.15 pagi itu berlangsung dalam suasana penuh ceria dan patriotik dengan penglibatan kira-kira 180 orang kanak-kanak NCDRC bersama guru-guru, ibu bapa dan warga pengurusan NCDRC.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Encik Khairul Aizat bin Abdul Rauf, selaku Naib Yang Dipertua (NYDP) Persatuan Ibu Bapa dan Pendidik (PIBP) NCDRC. Turut hadir ialah Dr. Nadia Shahira binti Amiruddin, Timbalan Pengarah Akademik dan Perkembangan Kanak-kanak, Dr. Intan Farahana binti Abdul Rani, Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Inovasi, barisan pengurusan NCDRC, guru-guru, ibu bapa serta anak-anak NCDRC.
Majlis berlangsung dengan penuh kemeriahan apabila para guru, ibu bapa dan kanak-kanak hadir mengenakan pakaian kebangsaan, sekali gus menyerlahkan semangat cinta akan negara serta kepelbagaian budaya yang menjadi identiti Malaysia.


Menurut pengarah NCDRC Profersor Madya Dr. Mazlina Che Mustafa, peluncuran Sambutan Bulan Kebangsaan bersama anak-anak NCDRC menjadi simbolik permulaan kepada pelbagai aktiviti yang dirancang bagi menyemarakkan semangat kemerdekaan sepanjang bulan ini. Penglibatan aktif kanak-kanak dalam pelbagai aktiviti yang menyeronokkan dan bermakna diyakini dapat membantu memupuk nilai cinta akan negara, kebersamaan serta rasa bangga sebagai anak Malaysia sejak usia awal.
Penganjuran sambutan ini bukan sekadar meraikan kemerdekaan, malah menjadi platform pendidikan yang bermakna dalam memperkenalkan nilai patriotisme, perpaduan dan identiti kebangsaan kepada kanak-kanak melalui pengalaman secara langsung. Suasana sambutan yang ceria turut memberi peluang kepada kanak-kanak untuk belajar menghargai kepelbagaian budaya dan memahami kepentingan hidup dalam sebuah masyarakat yang harmoni.
Majlis Peluncuran Bulan Kemerdekaan Ke-69 ini menjadi titik permulaan kepada pelbagai aktiviti bertemakan kemerdekaan yang akan dilaksanakan sepanjang bulan bagi menyemarakkan lagi semangat “Malaysia MADANI, Jiwa Merdeka” dalam kalangan warga NCDRC.
Semoga semangat kemerdekaan yang disemai sejak usia awal ini terus berkembang menjadi rasa cinta, bangga dan tanggungjawab terhadap tanah air dalam diri generasi masa hadapan.
