Oleh: Aiman Hariz Abu Hanipah
TANJONG MALIM, 21 Ogos 2026 – Pusat Kokurikulum Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meneruskan usaha memperkukuh peranan institusi pendidikan tinggi dalam bidang pendidikan luar menerusi inisiatif penubuhan Aurora Mountain School, sebuah platform khusus bagi pembangunan ilmu, kemahiran dan kompetensi dalam bidang pendakian gunung.
Ke arah merealisasikan inisiatif tersebut, Pusat Kokurikulum UPSI telah mengadakan perbincangan awal bersama lapan agensi dan organisasi berkepentingan bagi mendapatkan pandangan, kepakaran serta input profesional berkaitan pembangunan dan pelaksanaan Aurora Mountain School di UPSI.
Perbincangan ini dipengerusikan oleh Profesor Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff, Naib Canselor UPSI dan melibatkan wakil dari Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Negeri Perak, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Perak, Majlis Daerah Tanjong Malim, Persatuan Mendaki Malaysia, Persatuan Malim Gunung Malaysia (PMGM), Persatuan Malim Gunung Perhutanan (PGM) serta pegawai teknikal dari Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).
Penubuhan Aurora Mountain School merupakan satu usaha untuk menyediakan platform pembelajaran yang lebih tersusun dalam bidang pendakian gunung, dengan memberi penekanan terhadap aspek keselamatan, pengurusan risiko, kemahiran teknikal, kepimpinan serta kelestarian alam sekitar.
Inisiatif ini juga meneruskan kesinambungan pembangunan sekolah kemahiran khusus di bawah UPSI selepas kejayaan penubuhan Kayak School, sekali gus memperlihatkan usaha institusi pengajian tinggi awam dalam memperluas peluang pembelajaran berasaskan pengalaman dan kemahiran.
Kerjasama pelbagai agensi yang mempunyai kepakaran dalam bidang pendakian, keselamatan, pengurusan hutan, pelancongan dan latihan profesional dilihat penting bagi memastikan pembangunan Aurora Mountain School dilaksanakan berdasarkan keperluan industri serta amalan terbaik semasa.
Melalui jaringan kerjasama ini, UPSI berhasrat untuk meneroka pembangunan modul latihan, laluan kompetensi, perkongsian kepakaran serta peluang latihan yang dapat memberi manfaat kepada mahasiswa, penggiat aktiviti pendidikan luar, pengamal industri dan masyarakat.

Usaha tersebut turut membuka ruang kepada kerjasama yang lebih luas antara institusi pendidikan tinggi, agensi kerajaan, badan profesional dan pihak industri dalam memperkukuh ekosistem pendidikan luar serta pembangunan sumber manusia dalam bidang mountaineering.
Pusat Kokurikulum UPSI merakamkan penghargaan kepada kesemua agensi dan organisasi yang terlibat atas kesudian berkongsi kepakaran dan pandangan dalam perbincangan awal tersebut. Penubuhan Aurora Mountain School diharapkan dapat menjadi salah satu platform yang menyumbang kepada pembangunan pendidikan dan latihan pendakian gunung yang lebih sistematik, selamat dan profesional, selain memperluas akses masyarakat kepada peluang pembelajaran dalam bidang pendidikan luar.
