Yogyakarta, Indonesia – Jabatan Psikologi, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah melaksanakan Outbound Student Mobility Program Yogyakarta 2026 dengan kerjasama Universitas Mercu Buana Yogyakarta (UMBY) dan Universitas Negeri Yogyakarta (UNY) pada 1 hingga 5 September 2026.
Program ini melibatkan tujuh orang mahasiswa program Sarjana Muda Psikologi dengan Kepujian iaitu Alya Maisarah binti Khairulzaman, Alya Nur binti Mohd Kassim, Che Ku Aisy Sumayyah binti Che Ku Abu Bakar, Mia Marissya binti Syazelind Shah, Musfirah binti Ayob, Nik Muhammad Haikal bin Mohd Khairil Hilmi dan Nur Hanna Aisha binti Mohd Mahmud.
Sepanjang lima hari program, delegasi UPSI terlibat dalam pelbagai aktiviti berimpak yang merangkumi wacana akademik dan kelas ilmiah, jelajah kampus, khidmat komuniti serta eksplorasi sejarah dan budaya yang dikendalikan oleh UMBY dan UNY. Antara pengisian akademik utama ialah tiga sesi wacana ilmu di UMBY iaitu Mental Health Awareness Among Psychology Students oleh Dr. Aroyewun-Olaleye Temitope Folashade dan Educational Psychology and AI oleh Datin Roslinda binti Mustapha dari Jabatan Psikologi UPSI yang dilantik sebagai Pensyarah Pelawat dalam program ini serta Integrating Hard and Soft Skills in Research: Lessons from Australia oleh Dr. Ranni Merli Safitri dari UMBY.
Ketua Jabatan Psikologi, Dr. Priyalatha a/p Govindasamy, memberitahu bahawa aktiviti-aktiviti ini merupakan kesinambungan jalinan kerjasama dengan institusi-institusi akademik di Yogyakarta yang telah bermula semenjak 2018 lagi dengan pelbagai aktiviti akademik termasuklah pengkuliahan, geran penyelidikan dan penerbitan artikel jurnal.
Selain sesi akademik, delegasi UPSI turut menyertai aktiviti khidmat komuniti bersama individu berkeperluan khas di Yayasan Pinilih Sejahtera, Sedayu, Bantul. Sementara itu, aktiviti eksplorasi budaya membawa mahasiswa ke Museum Sonobudoyo dan Benteng Vredenburg.



Menurut Penyelaras Progam Mobiliti Jabatan Psikologi, Prof. Madya Dr. Hazalizah binti Hamzah, pencapaian yang paling membanggakan dalam program kali ini ialah apabila Alya Nur binti Mohd Kassim dan Alya Maisarah binti Khairulzaman masing-masing menjadi Naib Johan dan pemenang tempat ketiga dalam Pertandingan Poster Antarabangsa yang dianjurkan oleh UNY pada 4 September 2026. Pencapaian ini membuktikan keupayaan mahasiswa Jabatan Psikologi UPSI untuk bersaing dan menyerlah dalam platform akademik pada peringkat antarabangsa.
Kemuncak program berlangsung dengan Majlis Makan Malam dan Persembahan Kebudayaan di UNY. Mahasiswa UPSI mempersembahkan sebuah tarian yang menggabungkan warisan Melayu, Cina dan Sabah. Program ini telah berlangsung dengan jayanya dan sekaligus memaparkan hubungan yang harmoni antara pihak UPSI, UMBY dan UNY dalam setiap aspek pelaksanaannya. Keberkesanan program kali ini diharapkan dapat menjadi penanda aras baharu dalam membentuk mahasiswa yang lebih berdaya saing, bersifat terbuka, berdisiplin dan kompetitif, seterusnya mengangkat nama Jabatan Psikologi ke arah kecemerlangan di peringkat tertinggi pada masa akan datang.
