TANJONG MALIM — Tirai pendaftaran pelajar baharu Sarjana Muda Ambilan 1, Sesi 2026/2027 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyaksikan kehadiran seramai 4,456 mahasiswa baharu yang rasmi mendaftar bagi memulakan perjalanan pengajian mereka. Proses pendaftaran yang berlangsung selama tiga hari bermula 12 September 2026 bertempat di Dewan Tuanku Canselor (DTC), serta urusan penempatan di Kolej Ungku Omar (KUO), Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), dan Kolej Awang Had Salleh (KAHS) telah berjalan dengan penuh lancar dan teratur.

Kunjungan YBhg. Naib Canselor ke sesi pendaftaran pelajar
Kejayaan dan kelancaran operasi pendaftaran skala besar ini sudah tentu hasil dedikasi tinggi para petugas universiti, sukarelawan pelajar, serta Jawatankuasa MILLENIA Degree A261. Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih diucapkan kepada seluruh wira di sebalik tabir ini yang bekerja tanpa lelah bagi memastikan setiap urusan dan keperluan mahasiswa baharu diberi perhatian sepenuhnya.
Suasana mesra dan teratur ini jelas dirasai bermula daripada kawalan laluan trafik petugas keselamatan di bahagian luar dewan, sehinggalah ke bimbingan penuh perhatian oleh para petugas di dalam dewan. Komitmen petugas yang menyantuni mahasiswa dan keluarga dengan perkhidmatan yang berhemah serta penuh sokongan bukan sahaja melancarkan urusan pentadbiran, malah memberikan pengalaman pertama yang amat positif dan bermakna buat para pelajar.

Komitmen sambutan kepada ibu bapa dan pelajar bermula di pintu utama
Di samping itu, keprihatinan para petugas turut menyerlah melalui aspek kebajikan apabila Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) UPSI membuka kaunter khas sepanjang tempoh pendaftaran[3]. Petugas di kaunter WEZAS bertindak pantas memberikan maklumat serta panduan mengenai pelbagai bentuk bantuan — termasuk bantuan khas kemasukan semester satu, bantuan sara hidup, bantuan yuran, bantuan perubatan, serta dermasiswa zakat — demi memastikan kebajikan pelajar terjamin dan mengelakkan sebarang keciciran pada peringkat awal pengajian.

Ybhg Timbalan Naib Canselor (HEP) bersama ahli keluarga pelajar baharu
Sesungguhnya, komitmen, kerjasama, dan semangat kebersamaan yang ditunjukkan oleh semua petugas menjadi pemangkin utama dalam melakar kenangan indah buat 4,456 mahasiswa baharu. Terima kasih diucapkan kepada semua petugas atas pengorbanan dan perkhidmatan cemerlang dalam menyambut langkah pertama warga baharu Anak Kandung Suluh Budiman.

Suasana di dalam DTC semasa hari pendaftaran pelajar baharu
