Oleh: Nur Annisa Khairunnisa
Tanjong Malim, 28 September 2026 – Program Juara Arena anjuran Persatuan Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak (DPAKK), Sidang 2026/2027 telah berlangsung dengan jayanya di Gelanggang Sukan Kolej Za’ba, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Program ini melibatkan seramai 112 orang mahasiswa/i UPSI melalui penglibatan dalam aktiviti sukan yang dirancang bagi menggalakkan gaya hidup sihat, meningkatkan kecergasan fizikal serta memupuk semangat kesukanan dalam kalangan mahasiswa.
Program Juara Arena ini merupakan salah satu inisiatif yang menyediakan ruang kepada mahasiswa untuk melibatkan diri secara aktif dengan aktiviti sukan dalam suasana yang sihat dan positif.
Selain memberikan peluang kepada peserta untuk meningkatkan kemahiran serta prestasi sukan, program ini turut menjadi platform untuk mencungkil dan mengembangkan potensi serta bakat mahasiswa melalui pertandingan yang terancang dan kompetitif.
Program ini menyediakan 3 kategori utama iaitu bola baling lelaki dan perempuan serta bola tampar campuran. Sebanyak 16 pasukan telah mengambil bahagian dalam pertandingan yang dianjurkan, terdiri daripada empat pasukan bola baling lelaki, empat pasukan bola baling perempuan dan lapan pasukan bola tampar.
Penglibatan peserta dalam kedua-dua kategori lelaki dan perempuan turut mewujudkan suasana pertandingan yang lebih meriah serta memberi peluang kepada mahasiswa untuk menunjukkan kebolehan masing-masing.
Program ini turut memberi penekanan terhadap pembentukan kemahiran komunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan.
Melalui penglibatan dalam aktiviti sukan, peserta berpeluang untuk bekerjasama, merancang strategi, mematuhi peraturan dan mengamalkan sikap disiplin serta bertanggungjawab terhadap peranan masing-masing. Pada masa yang sama, aktiviti yang dijalankan dapat mengeratkan hubungan silaturahim dan memupuk nilai toleransi serta saling menghormati dalam kalangan peserta.
Pengisian utama Program Juara Arena diteruskan dengan sesi perlawanan kategori bola baling dan bola tampar yang melibatkan pasukan lelaki dan perempuan. Setiap pasukan menunjukkan komitmen serta semangat bersaing sepanjang pertandingan bagi memberikan kejayaan terbaik.
Sepanjang pertandingan berlangsung, para pemain menunjukkan penglibatan aktif serta semangat kesukanan dalam setiap perlawanan.
Aktiviti ini bukan sahaja memberi peluang kepada pemain untuk menguji dan meningkatkan kemahiran sukan, malah membantu membina keyakinan diri, daya tahan fizikal, disiplin serta kebolehan bekerja dalam satu pasukan.
Pengalaman sepanjang pertandingan turut memberi peluang kepada peserta untuk mengamalkan nilai kerjasama, toleransi dan saling menghormati.
Walaupun pertandingan dijalankan secara kompetitif, para pemain dapat menikmati pengalaman bersukan dalam suasana yang sihat dan positif.
Program turut diserikan dengan majlis perasmian yang yang dihadiri oleh penasihat persatuan DPAKK iaitu Puan Norrulkamari Daud.
Melalui ucapan beliau, semangat kesukanan perlu diaktifkan dalam kalangan siswa/i agar menjaga kesihatan tidak dilupakan. Selain itu, dengan penglibatan dalam aktiviti kesukanan dapat memanfaatkan masa lapang dengan baik di samping dapat mengenali antara satu sama lain dengan erat.
Sebagai penghargaan kepada peserta yang telah menunjukkan usaha, komitmen dan semangat kesukanan sepanjang pertandingan, acara penyampaian hadiah turut diadakan. Pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga bagi pertandingan yang dijalankan menerima hamper dan sijil penghargaan atas kejayaan mereka dalam aktiviti yang dianjurkan.
Kemenangan mereka ini bukan sahaja menjadi kemuncak kepada pertandingan, malah menjadi simbol penghargaan terhadap usaha dan semangat kesukanan yang ditunjukkan oleh para peserta sepanjang program berlangsung.
Kelancaran Program Juara Arena turut didukung oleh komitmen ahli jawatankuasa yang terlibat dalam pelbagai ahli jawatankuasa. Setiap ahli jawatankuasa memainkan peranan masing-masing dalam memastikan aspek pengurusan, persiapan tempat, teknikal, makanan, media dan hebahan, sijil dan hadiah serta kebajikan peserta dapat dilaksanakan dengan baik.
Kerjasama yang diberikan oleh seluruh ahli jawatankuasa menjadi salah satu faktor penting dalam memastikan program dapat berjalan dengan lancar serta mencapai matlamat yang telah ditetapkan.



Secara keseluruhannya, Program Juara Arena memberi pengalaman yang bermakna kepada mahasiswa/i melalui penglibatan dalam aktiviti sukan yang terancang dan kompetitif.
Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada peserta untuk meningkatkan kemahiran serta prestasi sukan, malah turut membantu membentuk kemahiran komunikasi, kepimpinan, disiplin dan kerja berpasukan. Pengalaman yang diperoleh sepanjang program diharapkan dapat mendorong mahasiswa untuk terus melibatkan diri dalam aktiviti sukan dan pembangunan belia pada masa akan datang.
Program Juara Arena akhirnya mencapai objektif pelaksanaan program dengan baik hasil kerjasama dan komitmen daripada semua pihak yang terlibat. Diharapkan agar program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai salah satu usaha untuk membentuk mahasiswa/i yang lebih berdaya tahan, berkeyakinan, berdisiplin serta mempunyai semangat kesukanan yang tinggi.
