Oleh: Mohammad Azri Amatan, Yazid Saleh, Hanifah Mahat, Nor Shahida Azali, Zahid Mat Said
TANJONG MALIM, 23 Oktober 2026 – Jabatan Geografi dan Alam Sekitar (JGAS), Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengadakan sesi diskusi kerjasama akademik bersama Universitas Siliwangi, Tasikmalaya, Indonesia, secara dalam talian menerusi Google Meet yang dijadualkan bermula pada jam 9.00 pagi.
Sesi diskusi ini dipengerusikan oleh Prof. Madya Dr. Hanifah Binti Mahat, Ketua Jabatan Geografi dan Alam Sekitar, UPSI. Turut terlibat dalam perbincangan ialah Prof. Madya Dr. Yazid Bin Saleh, Dr. Mohammad Azri Bin Amatan, Gs. Dr. Nor Shahida Binti Azali, Pensyarah Kanan Jabatan Geografi dan Alam Sekitar, serta En. Zahid Bin Mat Said, bidang Biologi dengan kepakaran dalam Higher Plant Systematics dan Tropical Plant Ecology.
Wakil Universitas Siliwangi yang hadir ialah Prof. Siti Fadjarajani (Dosen), Dr. Ruli As’ri (Dekan Fakultas Ilmu Sosial dan Politik), Dr. Erwin Hilman Hakim (Ketua Program Studi Magister Pendidikan Geografi), Dr. Erni Mulyani (Ketua Program Studi S1 Pendidikan Geografi), Elly Satiasih Rosali (Sekretaris Program Studi S1 Pendidikan Geografi) dan Ibu Anita Eka Putri (Dosen).
Sesi ini membincangkan potensi kerjasama dalam pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, penerbitan ilmiah serta program khidmat masyarakat yang melibatkan pensyarah dan pelajar kedua-dua institusi.
Antara fokus perbincangan ialah cadangan pelaksanaan pengajaran kolaboratif bersama, antaranya bagi kursus Pengantar Persekitaran Manusia dan Kajian Sumber Alam. Kerjasama yang turut dicadangkan juga merangkumi perkongsian kepakaran pensyarah, kuliah jemputan dan sesi webinar. Perbincangan awal menyentuh penglibatan dalam percancangan program pada Disember 2026 dan seawal Januari 2027, tertakluk kepada penyelarasan lanjut.


wakil JGAS, FSK, UPSI dan Universitas Siliwangi
Kedua-dua pihak turut meneroka peluang penyelidikan bersama berkaitan geografi manusia, geografi wilayah, perancangan bandar, kearifan tempatan, pelancongan dan pengurusan sumber alam. Potensi penggunaan kemudahan makmal Sistem Maklumat Geografi (GIS) serta aktiviti kajian lapangan turut dibincangkan bagi memberi pendedahan praktikal kepada pelajar.
Selain itu, program pengabdian kepada masyarakat serta penerbitan ilmiah bersama turut dicadangkan. Langkah susulan akan memberi tumpuan kepada penyelarasan bidang penyertaan, bentuk aktiviti, dan penglibatan ahli akademik serta pelajar kedua-dua universiti.
Secara keseluruhan, sesi ini membuka ruang yang positif dan signifikan dalam mengenal pasti beberapa bidang kerjasama yang boleh diperincikan melalui perbincangan susulan untuk pelaksanaan aktiviti akademik dan penyelidikan secara berperingkat.

