Oleh Ir Dr Azizul Qayyum Basri
TANJUNG MALIM, 29 Oktober – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini melakar penanda aras baharu dalam memacu teknologi masa hadapan menerusi penganjuran UPSI-MoST Symposium Innovation 2026 bertempat di Dewan Konvensyen E-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Tanjong Malim Perak.
Simposium berprestij anjuran Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV) ini memboyong tema “Smart Energy Solutions for Future Mobility”. Program ini menampilkan perkongsian ucaptama daripada dua tokoh industri terkemuka, YM Syed Hafiz Jamallullail dan Prof. Dr. Horizon Walker Gitano Briggs bagi mengupas solusi tenaga lestari.
Ibu pengisian simposium hari ini disemarakkan menerusi Pertandingan Inovasi peringkat kebangsaan yang membabitkan penyertaan menyeluruh daripada pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi, serta golongan profesional. Mempertandingkan lapan sub-tema berorientasikan masa depan seperti Digital Technology & AI serta Education & TVET, sebanyak 5 kumpulan terbaik bagi setiap kategori telah berhimpun mempamerkan reka cipta impak tinggi masing-masing untuk dinilai dalam sesi penghakiman pleno.


Kemuncak acara hari ini turut menyaksikan pengiktirafan FTV sebagai pusat automotif utama universiti diberikan nama UPSI Mobility Smart Technology (MoST) Centre menerusi penyerahan rasmi seunit kenderaan elektrik (EV) PROTON e.MAS 7 oleh PROTON Holdings. Kerjasama strategik yang terjalin sejak Februari 2026 lalu ini direalisasikan dalam bentuk pinjaman kenderaan berteknologi tinggi bagi menyokong keperluan Pengajaran dan Pembelajaran (PDP) amali para mahasiswa.
Sesi penyerahan bersejarah ini disaksikan secara rasmi oleh YBM Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dari Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), di antara Naib Canselor UPSI, Profesor Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff, dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Holdings Berhad, YBhg. Dato’ Ir. Abdul Rashid bin Musa.
