Oleh: Khadijah Maisarah Mohd Nasir dan Ummikalsum Mat Lazim

TANJONG MALIM, 28 OKTOBER 2026 – Seramai 580 mahasiswa Institut Penyelidikan dan Pendidikan Tahfiz & Turath Islami (i-FURQAN), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berhimpun menerusi program Liqa Mahabbah i-FURQAN UPSI bersempena dengan program Rabu Qalbu UPSI bagi memperkukuh ukhuwah, menyemai nilai kebersamaan dan membina jati diri Pendidik yang berteraskan agama, akhlak dan adab.

Program yang menghimpunkan barisan pengurusan, pensyarah, staf dan mahasiswa itu menjadi platform interaksi dua hala bagi merapatkan hubungan warga fakulti serta memperkukuh ekosistem pendidikan yang harmoni dan berteraskan nilai Islam.

Dalam ucapan perasmian, Pengarah i-FURQAN, Profesor Dr. Abd Rahman bin Abd Ghani menegaskan bahawa sebagai sebuah fakulti yang baharu ditubuhkan, pembinaan budaya kerja, identiti dan semangat kekitaan dalam kalangan warga fakulti merupakan asas penting dalam menentukan hala tuju serta kecemerlangan i-FURQAN.

Beliau turut menyuarakan harapan agar Liqa Mahabbah dapat dilaksanakan secara bulanan sebagai medium berterusan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara pihak pengurusan, pensyarah, kakitangan dan mahasiswa.

Beliau juga berharap agar mahasiswa tidak hanya memberikan tumpuan kepada kecemerlangan akademik, malah menjadikan akhlak, adab dan disiplin sebagai teras pembentukan diri bagi melahirkan pendidik.

Antara pengisian utama program ialah pelancaran AIM (A – Agama, Akhlak & Adab, I – Ilmu dan M – Maharat) serta Garis Panduan Etika Pemakaian yang disempurnakan oleh Timbalan Pengarah 2 (4P & HEPA) i-FURQAN, Profesor Madya Dr. Mohd Noor bin Mohd Daud.

Inisiatif ini menjadi landasan pembudayaan nilai dan etika dalam melahirkan mahasiswa yang berilmu, berintegriti serta memiliki keperibadian unggul. Program turut diserikan dengan tayangan video montaj barisan pengurusan i-FURQAN, persembahan tilawah al-Quran serta sesi Bicara Mahabbah oleh Pensyarah i-FURQAN, Profesor Madya Dr. Ahmad Zulfiqar Shah bin Abdul Hadi yang mengetengahkan perkara berkaitan kepentingan jati diri, akhlak dan ukhuwah sebagai persediaan dan bekalan bakal guru Pendidikan Islam dan Guru Tahfiz.

Penyampaian sijil bagi Pertandingan Poster “Adab in Frame” juga telah disempurnakan oleh Pengarah  i-FURQAN kepada para pemenang dalam kalangan pelajar i-FURQAN.

Sebagai pengisian penutup, mahasiswa mengikuti sesi bersama Penasihat Akademik masing-masing bagi membuka ruang perkongsian, bimbingan dan perbincangan berkaitan perkembangan akademik serta pembangunan sahsiah.

Penganjuran program Liqa Mahabbah i-FURQAN UPSI ini mencerminkan komitmen i-FURQAN dalam membina sebuah komuniti akademik yang bukan sahaja unggul dalam ilmu, malah teguh dengan agama, akhlak dan adab serta maharat (kemahiran). Selari dengan aspirasi AIM, i-FURQAN komited melahirkan bakal pendidik yang mampu menjadi murabbi, pemimpin dan pemangkin pembangunan ummah.