OLEH: DR. VESTLY KONG LIANG SOON

Tanjong Malim, 25 Julai 2026 – Kreativiti dan kecemerlangan mahasiswa Semester 3, Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Pendidikan Khas dengan Kepujian, Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), terus menyerlah apabila sembilan kumpulan inovasi berjaya meraih pengiktirafan dalam pertandingan International Innovation ARSVOT Malaysia 2026 (IAM2026) yang berlangsung pada 25 Julai 2026. Lebih membanggakan, kesemua inovasi tersebut merupakan hasil pembelajaran mahasiswa menerusi Kursus KBD3063 Kod Tangan 1, Kumpulan A, Semester A252. Di bawah bimbingan pensyarah kursus Dr. Vestly Kong Liang Soon dari Jabatan Pendidikan Khas, FPM UPSI.

Pencapaian ini membuktikan keupayaan mahasiswa pada peringkat awal pengajian untuk menghasilkan inovasi pendidikan yang kreatif dan berpotensi menyokong proses pengajaran dan pembelajaran, khususnya dalam bidang pendidikan khas ketidakupayaan pendengaran. Antara inovasi yang berjaya meraih Anugerah Perak ialah Synchro-KTBM, My Sign Fruit Box, Home Treasure Hunt: EduKit, EcoSign Explorer Game, Twist to Learn, Drift Island dan V-ACT (Virtual Assistive Code Technology): Sport Edition. Sementara itu, dua lagi inovasi, iaitu Dress and Play dan Jejak Rimba, berjaya memperoleh Anugerah Gangsa.

Penghasilan inovasi ini mencerminkan usaha mahasiswa mengaplikasikan pengetahuan berkaitan kod tangan melalui pembangunan bahan pembelajaran yang lebih kreatif, interaktif dan berpusatkan murid. Pendekatan ini berpotensi membantu bakal guru pendidikan khas mempelbagaikan strategi pengajaran bagi memenuhi keperluan pembelajaran Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) ketidakupayaan pendengaran. Melalui pelaksanaan tugasan inovasi berasaskan kursus, mahasiswa bukan sahaja berpeluang menguasai kemahiran komunikasi menggunakan kod tangan, malah dapat mengembangkan pemikiran kritis, kreativiti, penyelesaian masalah serta keupayaan bekerja secara berkumpulan.

Penglibatan dalam pertandingan inovasi antarabangsa turut memberikan pendedahan kepada mahasiswa tentang kepentingan menghasilkan produk pendidikan yang mempunyai nilai kebolehgunaan, keunikan dan potensi untuk diaplikasikan dalam persekitaran pembelajaran sebenar. Kejayaan ini juga memperlihatkan kepentingan pendekatan pembelajaran berasaskan projek dalam pendidikan tinggi, apabila mahasiswa diberi ruang untuk menterjemahkan pengetahuan teori kepada penghasilan inovasi yang mempunyai potensi manfaat kepada komuniti pendidikan khas. Pencapaian tersebut turut mencerminkan komitmen Jabatan Pendidikan Khas, FPM UPSI dalam memperkasakan budaya inovasi dan kecemerlangan akademik melalui pengintegrasian elemen kreativiti, teknologi pendidikan serta kemahiran profesional dalam pelaksanaan kursus.

Secara keseluruhannya, kejayaan mahasiswa ISMP Pendidikan Khas Semester 3, Kumpulan A (A252) dalam pertandingan IAM2026 anjuran ARSVOT Malaysia 2026 menjadi bukti bahawa inovasi pendidikan boleh dipupuk sejak peringkat awal pengajian universiti. Diharapkan pencapaian ini menjadi pemangkin kepada lebih ramai mahasiswa untuk terus menghasilkan inovasi pendidikan yang berkualiti, berdaya saing dan berpotensi menyumbang kepada pembangunan pendidikan khas di Malaysia, selaras dengan aspirasi UPSI sebagai universiti pendidikan terulung dalam melahirkan pendidik yang kompeten, inovatif dan berjiwa pendidik.