Oleh: Nur Adlina Aiman & Muhammad Zul’ Ashryn
SEMARANG, INDONESIA– Seramai 20 orang pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Komunikasi Sosial), Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyertai Program Mobiliti Antarabangsa ke Universitas Negeri Semarang (UNNES), Indonesia yang berlangsung selama 10 hari bermula 19 hingga 28 Oktober 2026.
Program ini turut disertai oleh dua orang pensyarah pengiring iaitu Ketua Jabatan Komunikasi dan Media, Dr Sarina Yusuf dan Dr Nur Nadia Abd Mubin sebagai usaha memperkukuh hubungan akademik dan jaringan kerjasama antarabangsa antara kedua-dua institusi pengajian tinggi.
Dr Sarina berkata peserta berpeluang menyertai pelbagai aktiviti akademik, perkongsian ilmu dan interaksi bersama warga akademik serta mahasiswa UNNES.
“Penganjuran program mobiliti ini membuktikan komitmen berterusan UPSI dan UNNES dalam melahirkan graduan beraspirasi global yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malahan berkeyakinan tinggi serta mempunyai daya ketahanan budaya yang mantap,” katanya.
Beliau berkata antara pengisian utama program ialah sesi perkongsian akademik antara pelajar UPSI dan UNNES yang menjadi platform untuk bertukar pandangan, berkongsi pengalaman serta memperluas pengetahuan berkaitan bidang komunikasi dan isu-isu semasa.
Selain pengisian akademik, katanya, peserta berpeluang menyertai lawatan warisan di sekitar bandar Semarang bagi meneroka keunikan sejarah, seni bina dan warisan budaya masyarakat tempatan.
Beliau berkata lawatan itu memberikan pendedahan secara langsung kepada para pelajar tentang kepentingan pemeliharaan bangunan bersejarah serta peranan warisan dalam membentuk identiti dan jati diri sesebuah masyarakat selain membuat perbandingan antara warisan sejarah Indonesia dan Malaysia, sekali gus meningkatkan pemahaman terhadap persamaan dan keunikan budaya kedua-dua negara.
“Program ini memberi penekanan terhadap pertukaran budaya melalui penglibatan pelajar dalam aktiviti kesenian dan kebudayaan sebagai simbol kepelbagaian budaya Malaysia
Pelajar mempersembahkan gabungan tarian tradisional yang merangkumi tarian Melayu, Sabah, India, Cina dan Sarawak sekali gus memperkenalkan keunikan seni, perpaduan kaum dan budaya Malaysia kepada warga UNNES.



Beliau berkata Program Mobiliti Antarabangsa UPSI ke UNNES memberikan pengalaman pembelajaran yang bermakna kepada peserta melalui gabungan pengisian akademik, pertukaran budaya dan penerokaan warisan sejarah.
“Program ini diharapkan dapat menjadi platform berterusan dalam memperkukuh hubungan antara UPSI dan UNNES, di samping melahirkan graduan yang berdaya saing, berfikiran global serta mempunyai kesedaran terhadap kepelbagaian budaya di peringkat antarabangsa,” katanya.
Pelajar juga berpeluang meneroka dunia penyiaran menerusi lawatan akademik ke UNNES TV, malah mengadakan sesi rakaman podcast bersama mahasiswa UNNES membincangkan topik berkaitan komunikasi antara budaya (Intercultural Communication), khususnya perkongsian perspektif, budaya dan pengalaman antara mahasiswa Malaysia dan Indonesia.
Selain mereka mengikuti program kecergasan dan kebudayaan bersama yang berlangsung meriah di pekarangan Fakultas Ilmu Sosial dan Ilmu Politik (FISIP), UNNES.
Aktiviti kecergasan itu menyuntik semangat gaya hidup sihat, peluang komunikasi dan pengerat silaturahim antara mahasiswa UPSI dan UNNES.
Katanya, Acara permainan tradisional seperti lompat getah dan tarik tali sebagai permainan warisan serantau juga membina semangat kesukanan yang tinggi dalam keunikan serta persamaan budaya kedua-dua belah negara.

