Bergambar kenangan bersama peserta bengkel Arduino dan Tinkercad

BERUAS – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT) memperkasa minat pelajar terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) melalui Program STI 100³ di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Shahriman, di sini.

Program yang melibatkan kira-kira 490 pelajar Tingkatan Satu hingga Enam serta guru itu dilaksanakan dalam tiga sesi pada 16 Jan, 8 April dan 15 Jun lepas dengan peruntukan daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Saintis STI 100³ UPSI, Prof Dr Bahbibi Rahmatullah berkata pendedahan awal melalui pengalaman pembelajaran secara langsung penting bagi memupuk minat dan keyakinan pelajar terhadap bidang sains serta teknologi.

“Matlamat kami bukan sekadar mengajar pelajar menyambung litar atau menulis kod. Kami mahu menyemai rasa ingin tahu, memupuk minat dan membina keyakinan mereka bahawa teknologi bukan sesuatu yang jauh atau sukar.

“Apabila pelajar melihat sendiri idea mereka menjadi ciptaan yang berfungsi, mereka mula sedar bahawa mereka juga mampu menjadi pencipta dan inovator teknologi, bukan sekadar pengguna,” katanya.

Encik Meor Asyraf bin Rostam Affandi, alumni SMKRS dan Perwakilan Dewan Belia Perak, berkongsi inspirasi kerjaya IT
Ucapan perasmian penutup oleh YB Senator Datuk Dr. Azhar bin Ahmad, Ahli Lembaga Pengarah UPSI
 
 Sesi perkongsian dan soal jawab bersama pelajar

Program STI 100³ merupakan inisiatif bersama MOSTI dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menghubungkan 100 saintis tempatan dengan 100 sekolah bagi meningkatkan minat murid terhadap bidang STEM.

Bahbibi dilantik sebagai saintis bagi Kitaran Dua program itu pada November 2025.

Antara pengisian program ialah ceramah kesedaran teknologi maklumat (IT) dan kecerdasan buatan (AI) pada 8 April yang disempurnakan Ahli Lembaga Pengarah UPSI, Senator Datuk Dr Azhar Ahmad di Dewan Dato’ Salleh, SMK Raja Shahriman.

Dalam ucapannya, Azhar menekankan kepentingan penguasaan AI dalam kalangan pelajar bagi mempersiapkan mereka menghadapi perubahan dunia pekerjaan, selain menggalakkan mereka menjadi pencipta teknologi dan bukan sekadar pengguna.

Program itu turut menampilkan alumni sekolah berkenaan yang juga Perwakilan Dewan Belia Perak, Meor Asyraf Rostam Affandi, yang berkongsi pengalaman serta peluang kerjaya dalam bidang teknologi maklumat.

Pada sesi 15 Jun, pelajar menyertai bengkel amali di makmal komputer dengan mereka bentuk dan membuat simulasi litar elektronik menggunakan perisian Tinkercad sebelum membina litar sebenar menggunakan kit Arduino, termasuk komponen diod pemancar cahaya (LED) dan penderia ultrasonik.

Dapatan kaji selidik sebelum dan selepas program menunjukkan hampir 90 peratus pelajar bersetuju bahawa kesedaran, pengetahuan dan minat mereka terhadap bidang STI meningkat, manakala tanggapan bahawa sains merupakan bidang yang membosankan dan sukar turut berkurangan.

Program itu diharap dapat diteruskan menerusi kerjasama UPSI, MOSTI, KPM dan Jabatan Pendidikan Negeri Perak bagi memperluas pendedahan teknologi serta menggalakkan lebih ramai pelajar meneroka bidang STEM.