Prof. Dr. Norkhalid Salimin menyantuni sukarelawan di PPS

oleh Cik Afifah Adriana Aznan

Tanjong Malim, 14 November 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus membuktikan keprihatinan dan komitmennya terhadap masyarakat apabila menggerakkan misi bantuan kemanusiaan menerusi pasukan ResQ UPSI bagi menyantuni mangsa banjir yang terjejas di daerah Muallim.

Misi yang diketuai oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin ini telah mengunjungi pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khir Johari bagi menyampaikan sumbangan serta memberikan sokongan moral kepada mangsa banjir dan petugas yang terlibat.

Dalam misi tersebut, seramai 22 keluarga mangsa banjir yang ditempatkan di PPS berkenaan telah disantuni. Antara sumbangan yang disampaikan ialah selimut bagi membantu memenuhi keperluan asas mangsa, khususnya dalam menghadapi keadaan cuaca yang tidak menentu sepanjang tempoh bencana.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI berkata, misi berkenaan bukan sekadar menyampaikan bantuan berbentuk material, malah merupakan manifestasi keprihatinan dan tanggungjawab sosial universiti terhadap masyarakat yang sedang berhadapan dengan kesukaran.

“Sebagai sebuah universiti yang mengangkat nilai kemanusiaan dan kesukarelawanan, UPSI sentiasa komited untuk hadir bersama masyarakat, khususnya ketika mereka berdepan dengan musibah. Walaupun sumbangan yang disampaikan mungkin tidak mampu menyelesaikan keseluruhan kesulitan yang dihadapi, kami berharap kehadiran dan keprihatinan warga UPSI dapat memberikan sedikit kelegaan serta menyuntik semangat kepada mangsa untuk terus tabah,” katanya.

Prof. Dr. Norkhalid Salimin menyantuni sukarelawan di PPS
Prof. Dr. Norkhalid Salimin menyantuni dan menyerahkan sumbanagn kepada mangsa di PPS
 
Prof. Dr. Norkhalid Salimin menyantuni dan menyerahkan sumbanagn kepada mangsa di PPS
 

Selain menyerahkan sumbangan, pasukan ResQ UPSI turut mengambil kesempatan menyantuni para mangsa dan petugas di PPS, bertanya khabar serta mendapatkan gambaran mengenai keperluan semasa mereka. Pendekatan turun padang ini mencerminkan keprihatinan UPSI yang bukan sekadar hadir membawa bantuan, tetapi turut membawa harapan, sokongan dan semangat kebersamaan.

Menurut Naib Canselor UPSI, Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff misi ini menzahirkan penghayatan Jiwa UPSI, iaitu semangat kemanusiaan, kasih sayang, keprihatinan dan tanggungjawab yang menjadi sebahagian daripada identiti warga universiti. Jiwa UPSI bukan sekadar slogan, sebaliknya diterjemahkan melalui tindakan dan penglibatan secara langsung dalam membantu masyarakat ketika diperlukan.

Inisiatif ini mencerminkan keprihatinan dan komitmen UPSI dalam menghulurkan bantuan kepada masyarakat yang terkesan akibat bencana, selaras dengan semangat kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial universiti.