Sesi bergambar bersama Yang Mulia Dato’ Baginda Maharaja Haji Saleh Ahmad, pengamal adat, peserta dan jawatankuasa program.

Oleh: Zarul Faiz Zakaria dan Dr. Nor Syazwani Mat Salleh

KUALA PILAH, 31 Oktober 2026 – Dalam usaha memastikan khazanah seni warisan tradisional terus dipelihara dan diwarisi generasi muda, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Kelab Reka Bentuk dan Warisan (KEREBEWA), Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK), telah menganjurkan Program Upskilling Eksplorasi ‘SeniBujam’: Pemerkasaan Komuniti melalui Pemindahan Ilmu Warisan Kraf Tradisional pada 29 hingga 31 Oktober 2026 di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Program yang mendapat sokongan geran Projects for Happiness 2.0 daripada My Starfish Foundation ini dilaksanakan dengan kerjasama Pusat Kraftangan Malaysia Cawangan Kuala Pilah, Negeri Sembilan serta Persatuan Komunikasi (PERKOM), Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), UPSI. Kerjasama ini membuka ruang kepada peserta untuk mendalami keunikan ‘SeniBujam’ melalui perkongsian ilmu, demonstrasi dan latihan amali bersama pengamal kraf tempatan.

Seramai 30 peserta yang terdiri daripada mahasiswa UPSI, komuniti setempat dan pelajar Highland International Boarding School (HIBS) telah menyertai program ini dengan sokongan enam orang staf UPSI.

Yang Mulia Dato’ Baginda Maharaja Haji Saleh Ahmad, Dato’ Lembaga Suku Seri Lemak Pahang, Luak Ulu Muar, menegaskan bahawa usaha memelihara ‘ SeniBujam’ amat penting bagi memastikan pengetahuan dan nilai warisan adat terus diwariskan kepada generasi muda.

“Usaha seperti ini amat bermakna kerana pemeliharaan warisan budaya memerlukan sokongan semua pihak, termasuk masyarakat luar. Saya berharap ilmu ‘SeniBujam’ dapat terus dipelajari dan diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya.

Sementara itu, Puan Hajah Zainab Haji Udin atau lebih dikenali sebagai Uwan Zainab, Ibu Soko Luak Ulu Muar, turut berharap agar usaha memartabatkan ‘SeniBujam’ dapat diteruskan bagi melahirkan generasi pelapis yang mampu mempelajari, menghayati dan mewarisi seni kraf tradisional tersebut.

Program ini turut mengetengahkan pendekatan perantisan (apprenticeship) yang membolehkan peserta mempelajari teknik penghasilan ‘SeniBujam’ secara langsung melalui bimbingan pengamal kraf berpengalaman. Pendekatan ini memberi peluang kepada peserta menguasai kemahiran praktikal di samping memahami nilai ketelitian, kesabaran dan kreativiti dalam penghasilan kraf tradisional.

Antara hasil utama program ialah pembangunan Modul Training of Trainers (TOT) ‘SeniBujam’ sebagai bahan rujukan yang mendokumentasikan teknik penghasilan kraf secara sistematik. Modul ini mengintegrasikan pendekatan perantisan melalui pemerhatian, demonstrasi dan latihan praktikal bagi menyokong kesinambungan pemindahan ilmu kepada generasi seterusnya.

Sesi perkongsian ilmu dan pencerahan berkaitan sejarah serta warisan SeniBujam bersama tokoh adat.
Sesi perkongsian ilmu dan pencerahan berkaitan sejarah serta warisan SeniBujam bersama tokoh adat.
Aktiviti latihan amali SeniBujam melalui bimbingan dan tunjuk ajar pengamal kraf.
 

Penasihat KEREBEWA merangkap penasihat program, Dr. Nor Syazwani binti Mat Salleh, menegaskan bahawa seni kraf tangan tradisional mempunyai nilai warisan, estetika dan kemahiran yang tinggi serta tidak seharusnya dipandang enteng oleh generasi muda.

Menurut beliau, penghasilan ‘SeniBujam’ memerlukan ketelitian, kesabaran dan kemahiran yang diwarisi secara turun-temurun, namun pada masa yang sama berpotensi diinovasikan dan dikomersialkan melalui penghasilan produk kontemporari seperti beg tangan, sarung telefon bimbit dan aksesori gaya hidup yang lebih dekat dengan cita rasa golongan belia.

Pendekatan ini diharapkan dapat meningkatkan penghargaan generasi muda terhadap seni kraf tradisional dalam konteks yang lebih kreatif dan relevan. “Warisan tidak seharusnya hanya dipelihara sebagai kenangan masa lalu, tetapi perlu terus dihidupkan melalui pendekatan baharu tanpa menghilangkan identiti dan nilai tradisinya,” ujar beliau.

Dalam pada itu, wakil Bahagian Pemasaran Pusat Kraf, Encik Asri, menyifatkan program ini sebagai inisiatif yang baik dalam memperkenalkan ‘SeniBujam’ kepada masyarakat lebih luas, sekali gus meningkatkan kesedaran dan penghargaan terhadap warisan kraf tradisional.

Komuniti setempat turut menzahirkan penghargaan terhadap keprihatinan UPSI dalam membantu memelihara warisan Adat Perpatih. Melalui kerjasama strategik, pendekatan perantisan dan pembangunan Modul TOT, program ini diharapkan dapat memperkukuh pemindahan ilmu serta memastikan ‘SeniBujam’ terus dipelihara, dihargai dan diwarisi oleh generasi akan datang.