Oleh: Sorfina Farhanah Iszuan Shah

Tanjong Malim, 8 Mac 2025 – Sebanyak 300 peserta telah menyertai Larian Seharum Ramadhan 3KM, sebuah program anjuran Majlis Mahasiswa Kolej (MMK) Kolej Awang Had Salleh (KAHS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), yang menggabungkan elemen kecergasan dan keagamaan.

Program ini diterajui oleh Sorfina Farhanah Iszuan Shah selaku Pengarah Program dengan sokongan pelbagai pihak bagi memupuk semangat kebersamaan dan menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan mahasiswa.

Acara bermula pada jam 6:00 petang dengan larian santai sejauh tiga kilometer mengelilingi kampus UPSI. Para peserta berlari dalam suasana penuh semangat dan keakraban, menikmati keindahan petang sambil beriadah.

Sejurus tamat larian, mereka berkumpul di Masjid Al-Mursyiddin untuk sesi berbuka puasa bersama pada jam 7:00 malam.

Peserta larian yang menyertai larian
Suasana sewaktu berbuka puasa
Peserta yang terdiri dari kakitangan UPSI

Program ini bukan sekadar aktiviti fizikal, tetapi turut bertujuan untuk memperkukuh ukhuwah antara peserta serta mengeratkan hubungan dalam suasana Ramadan yang penuh keberkatan.

Menurut Pengarah Program, objektif utama program ini adalah untuk memastikan mahasiswa kekal aktif walaupun dalam bulan puasa, sambil menghayati nilai kebersamaan dan kepentingan keseimbangan antara kesihatan dan ibadah.

 “Kami ingin memastikan mahasiswa dapat mengekalkan keseimbangan antara kecergasan dan ibadah. Aktiviti ini bukan sekadar larian biasa, tetapi juga satu inisiatif untuk memperkukuh ukhuwah serta mempromosikan gaya hidup sihat di kampus,” katanya.

Larian Seharum Ramadhan 3KM membuktikan bahawa aktiviti fizikal boleh digabungkan dengan elemen kerohanian bagi membentuk masyarakat kampus yang lebih seimbang dan harmoni.

Dengan sambutan yang menggalakkan, diharapkan program ini dapat diteruskan sebagai tradisi tahunan bagi mahasiswa UPSI.

Tahniah kepada semua peserta yang menyertai program ini dengan penuh semangat! Semoga aktiviti seperti ini terus menjadi inspirasi untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan membentuk komuniti kampus yang lebih erat.