Oleh: Norazalieyana Nabila Binti Ahzali, Alya Natasya Jais, Anis Farhana Rohizal dan Bazli Razak

KUALA LUMPUR, 27 Februari 2025 – Seramai 30 mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyantuni golongan gelandangan dan asnaf menerusi program kesukarelawanan “Outreach Caring Community” yang berlangsung di Pusat Komuniti Warung Makan Sahabat, Chow Kit di sini, baru-baru ini.

Program anjuran Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki (KAB) UPSI sidang 2024/2025 dengan kerjasama Yayasan Amal Malaysia itu bertujuan membantu golongan kurang bernasib baik melalui pengagihan pakaian terpakai dan penyediaan makanan tengah hari.

Program dimulakan dengan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan sekitar warung, sebelum para peserta membantu penyediaan makanan bersama pengurus Warung Makan Sahabat bagi diedarkan kepada gelandangan yang hadir.

Gotong royong mengemas dan menyusun Al-Quran dan buku-buku
Aktiviti memasak dan membungkus makanan dengan pemantauan
 dan tunjuk ajar daripada pengurus bertugas
Aktiviti memasak dan membungkus makanan dengan pemantauan
 dan tunjuk ajar daripada pengurus bertugas

Majlis penyerahan pakaian terpakai disempurnakan kepada pengusaha Warung Makan Sahabat, Mohd Khairul Azman Md Daud sebagai simbolik sokongan dan keprihatinan terhadap komuniti gelandangan di kawasan berkenaan.

Menurut kenyataan penganjur, inisiatif itu diharap dapat memberi keselesaan dan keyakinan kepada penerima selain menjadi lambang kasih sayang masyarakat terhadap golongan yang sering dipinggirkan.

Pengagihan makanan kepada rakan jalanan
Pengagihan sumbangan kepada pengusaha Warung Makan Sahabat

“Program ini bukan sekadar menyampaikan bantuan, tetapi sebagai wadah membina jalinan kemanusiaan dalam kalangan mahasiswa agar terus cakna terhadap isu-isu sosial,” menurut kenyataan itu.

Penganjur turut berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan dan memberi inspirasi kepada lebih ramai mahasiswa untuk melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelawanan.