Oleh : Nuraina Farzana dan Norrulkamari
TANJUNG MALIM, 18 JUN 2025 – Program Florakonomi @ FPM Fest 2025 telah berlangsung dengan jayanya bertempat di Centre Of Pedagogical Research & Innovation (Makmal CPRI), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Program ini telah dianjurkan oleh Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) melalui gerak kerja bersama Persatuan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak (DPAKK) dengan kerjasama Pusat Pembangunan dan Keusahawanan Kebolehasaran Graduan (EDGE) UPSI, LEON Classroom (Children Islamic Center, CIC) dan juga usahawan siswa iaitu Asal Jauh.
Program ini merupakan salah satu inisiatif keusahawanan dan pendidikan luar bilik darjah yang berfokuskan kepada pendedahan awal berkaitan bidang ekonomi serta keusahawanan dalam kalangan mahasiswa/i UPSI.



Objektif utama program ini adalah untuk menanam minat mahasiswa/i dalam bidang keusahawanan, memberi pendedahan tentang teknik menjana pendapatan sendiri serta memperkasakan kebolehpasaran graduan UPSI.
Program ini juga menyokong teras strategik UPSI khususnya dalam Kebitaraan Pendidikan (Teras 1) dan Kemampanan Kewangan (Teras 4).
Antara pengisian utama dalam program ini ialah Forum Terbuka yang bertajuk “Bidang Perniagaan Yang Luas” yang menampilkan ahli panel iaitu pengarah EDGE, Dr. Sharul Effendy, wakil CIC iaitu Encik Ali dan juga dua ahli kumpulan Asal Jauh, Shafika serta Syazwan.



Forum ini memberi pendedahan tentang peluang keusahawanan serta perkongsian pengalaman oleh panel yang pakar dalam bidang keusahawan.
Bersama moderator iaitu Syasya Izzati menggerakkan forum tersebut dengan beberapa soalan yang dikemukakan kepada ahli panel dan juga sesi soal jawab oleh pelajar bersama ahli panel membolehkan para peserta berinteraksi secara langsung dengan memahami lebih mendalam tentang dunia keusahawanan.
Seterusnya, program ini diteruskan dengan bengkel dan pertandingan crochet yang memberi peluang kepada para peserta mempamerkan bakat dan kreativiti mereka dalam bidang kraftangan.
Aktiviti ini menyumbang kepada perkembangan keusahawanan berasaskan kemahiran dan produk. Slot kedua ini dikelolakan oleh usahawan muda iaitu Kumpulan Asal Jauh yang kini bergiat aktif dalam media sosial tentang bakat mereka dalam bidang keusahawanan.
Asal Jauh berkongsi kemahiran dan bakat unik mereka kepada peserta dalam penghasilan crochet yang cantik menggunakan bahan yang ringkas dan mudah didapati, namun memberikan hasil yang estetik dan menarik di samping dapat menjana pendapatan.



Program ini telah berjaya menarik perhatian seramai 50 orang peserta terdiri daripada ahli persatuan DPAKK dan mahasiswa/i UPSI termasuk pelajar daripada Fakulti Sains dan Matematik, UPSI.
Kehadiran jemputan Prof. Madya Dr. Abdul Halim Masnan selaku Timb. Dekan Hal Ehwal Pelajar & Alumni FPM dan Ketua Jabatan PAKK, Dr Seah Siok Peh telah menyerikan lagi slot ini hingga ke penghujungnya.
Menjelang hujung program, sesi cabutan bertuah dan penyampaian hadiah kepada enam peserta terbaik.
Pemenang menerima sijil penghargaan, wang tunai dan sekuntum bunga crochet ikhlas daripada Asal Jauh kepada para pemenang seterusnya diikuti dengan ucapan penutup serta sesi fotografi rasmi sebagai penutup tirai program.
Secara keseluruhannya, program Florakonomi telah mencapai objektif yang dirancang dan memberikan impak positif kepada semua peserta dari segi ilmu, kemahiran dan pengalaman.
Diharapkan program sebegini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan dengan pengisian yang lebih pelbagai dan menyeluruh.
