Oleh: Siti Faeznurbalhqis Abdul Rahman

Terengganu, 28 Jun 2025 – Pusat Islam Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Pusat Transformasi Komuniti UPSI (UCTC) dan Persatuan Rakan Siswa YADIM UPSI berjaya menganjurkan Program CSR sempena penyerahan 150 naskhah Al-Quran kepada Masjid Kampung Baru, Pulau Redang, Terengganu.

Sejumlah Al-Quran tersebut telah disumbangkan oleh Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

Penyerahan sumbangan Al-Quran kepada Masjid Kampung Baru Pulau Redang oleh ini merupakan satu inisiatif yang membawa pelbagai kebaikan dari sudut rohani, sosial dan pembangunan Masyarakat kepada mahasiswa yang terlibat.

Program ini dapat memperkukuh nilai keagamaan dalam kalangan mahasiswa dan masyarakat setempat. Melalui sumbangan ini, mahasiswa bukan sahaja mempelajari tentang kepentingan sumbangan Al-Quran dan sedekah, malah mereka turut menyemai rasa tanggungjawab sosial sebagai golongan intelektual muda terhadap institusi keagamaan.

Selain itu, penyerahan Al-Quran ini akan dimanafaatkan dalam aktiviti keagamaan seperti kelas pengajian, tadarus dan bacaan harian oleh jemaah, sekali gus menghidupkan suasana masjid sebagai pusat ibadah dan ilmu.

Inisiatif ini juga dapat memupuk semangat kerjasama antara universiti dan komuniti, selain membina imej positif institusi pengajian tinggi yang prihatin terhadap pembangunan rohani masyarakat.

Justeru, usaha ini membawa impak yang besar dan berpanjangan kepada Masyarakat secara keseluruhan.

Program ini juga dapat mendidik mahasiswa menjadi sukarelawan cemerlang dalam aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan ini.

Sebagai golongan intelektual muda, mahasiswa bukan sahaja berperanan sebagai pewaris kepimpinan masa depan, malah bertanggungjawab membentuk masyarakat yang lebih prihatin, berakhlak dan berdaya saing.

Penglibatan dalam aktiviti sukarelawan keagamaan dapat membentuk jati diri muslim sejati dalam kalangan mahasiswa melalui penghayatan nilai-nilai seperti keikhlasan, amanah, kasih sayang dan kepedulian terhadap ummah.

Penyerahan sumbangan Al-Quran ini telah disempurnakan oleh Ustaz Hamdi Azmi selaku Penolong Pegawai Pusat Islam merangkap Penasihat Persatuan Rakan Siswa YADIM UPSI bersama beberapa pegawai Pusat Islam kepada Masjid Kampung Baru, Pulau Redang, Terengganu.

Selain itu, mahasiswa UPSI juga berkesempatan menjalankan aktiviti street dakwah iaitu satu bentuk pendekatan dakwah lapangan yang dijalankan secara langsung di tempat awam seperti pasar malam, taman rekreasi, dan kawasan tumpuan masyarakat.

Melalui program ini, mahasiswa atau sukarelawan turun padang menyampaikan mesej Islam secara santai dan berhemah kepada masyarakat umum.

Mahasiswa UPSI telah menyerbarkan pengisian tentang perbaiki solat yang menerangkan tentang Langkah mengatasi kelalaian dalam solat.

Kaedah yang digunakan termasuklah pengedaran risalah dakwah, pemberian buku atau al-Quran, perbualan secara mesra, sesi tazkirah ringkas, serta khidmat nasihat atau bimbingan agama telah diterapkan sepanjang aktiviti ini.

Aktiviti ini telah membuka ruang kepada dakwah secara lebih meluas dan efektif, khususnya kepada golongan yang jarang menghadiri program keagamaan formal atau yang kurang pendedahan kepada ajaran Islam.

Program ini dapat meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap ajaran Islam yang sebenar serta membimbing mereka ke arah kehidupan yang lebih berakhlak.

Penglibatan mahasiswa universiti sebagai jawatankuasa dalam program penyerahan sumbangan al-Quran dan aktiviti street dakwah memberikan kesan yang amat besar dari pelbagai aspek, khususnya dalam pembangunan sahsiah, kemahiran insaniah dan kefahaman agama.

Peranan mereka sebagai penggerak utama program melatih diri untuk lebih bertanggungjawab, berdedikasi dan berjiwa sukarelawan.

Mahasiswa bukan sahaja menyumbang tenaga, malah turut melibatkan diri secara langsung dalam perancangan, pelaksanaan dan penilaian aktiviti.

Proses ini membina kemahiran kepimpinan, pengurusan masa, komunikasi, serta keupayaan menyelesaikan masalah secara efektif.

Justeru, program seperti ini dapat membentuk mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik, malah berdaya saing, berakhlak mulia dan berperanan aktif sebagai agen perubahan dalam masyarakat.