Oleh: Siti Faeznurbalhqis Abdul Rahman

Terengganu, 26 Jun 2025 – Pusat Islam Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Pusat Transformasi Komuniti UPSI (UCTC) dan Persatuan Rakan Siswa YADIM UPSI telah berjaya menganjurkan Program Kem Halawatul Iman sempena penyerahan 200 naskhah Al-Quran kepada Sekolah Kebangsaan Lembah Bidung, Merang, Setiu, Kuala Terengganu.

Sejumlah Al-Quran tersebut telah disumbangkan oleh Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

Program ini bertujuan untuk melahirkan pelajar yang berilmu, berakhlak dan menyemai sikap tanggungjawab pelajar dalam pembentukan sahsiah serta nilai kerohanian dalam diri.

Program ini menggabungkan aktiviti keagamaan dan pembinaan karakter murid sekolah rendah seperti qiamullail, ceramah motivasi, LDK, dan Kem Bestari Solat.

Selain itu, program ini juga dapat meningkatkan Kemahiran kepimpinan dan komunikasi dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi UPSI melalui perkongsian serta aktiviti yang dijalankan.

Kem Halawatul Iman juga berjaya memperkukuhkan jalinan mesra antara satu sama lain serta membina jaringan ikatan yang kuat bersama pelajar Sekolah Kebangsaan Lembah Bidung, Setiu.

Pelbagai aktiviti telah dijalankan oleh barisan fasilitator dalam kalangan mahasiswa UPSI kepada para pelajar khususnya pengenalan tentang kewajipan solat, syarat sah dan rukun solat, cara berwuduk, serta hafalan bacaan dalam solat.

Selain itu, aktiviti amali seperti latihan mengambil wuduk dan solat berjemaah turut diadakan bagi memastikan murid dapat mengaplikasikan ilmu yang dipelajari secara praktikal.

Program ini turut diselitkan dengan aktiviti tambahan seperti kuiz agama, ceramah motivasi, dan tayangan video kegamaan bagi menarik minat murid.

Barisan fasilitator juga turut mengadakan slot senaman pagi Bersama semua murid bagi memastikan kecerdasan minda murid setelah tamat slot qiamullail dan tazkirah ringkas dari mahasiswa UPSI.

Pada akhir program, penilaian secara lisan dan praktikal dijalankan bagi menguji tahap penguasaan solat dalam kalangan murid.

Seterusnya, majlis penutup program telah disempurnakan dengan penyerahan naskhah Al-Quran oleh Pegawai Pusat Islam, Puan Bazliah Ahmad Mahmud diiringi Ustaz Hamdi Azmi selaku Penolong Pegawai Pusat Islam merangkap Penasihat Persatuan Rakan Siswa YADIM UPSI bersama Irsyad bin Razalle iaitu Yang Dipertua Rakan Siswa YADIM UPSI kepada pihak sekolah yang diwakili oleh Cikgu Mohd Amri Hussain selaku Guru Besar Sekolah Kebangsaan Lembah Bidung, Setiu, Terengganu yang diiringi oleh Ustaz Ismail Aziz yang merupakan penyelaras bagi Kem Halawatul Iman.

Program ini diharapkan agar dapat membantu pihak sekolah dalam pembentukan sahsiah serta penghayatan murid dalam solat serta dapat menyemai rasa cinta terhadap ibadah dalam diri anak-anak sejak usia muda, serta membentuk jati diri muslim yang berakhlak mulia, berdisiplin dan bertanggungjawab dalam kehidupan seharian.

Program ini juga diharapkan dapat membentuk mahasiswa UPSI menjadi lebih bertanggungjawab dalam menjalani tugas yang diberi serta membentuk disiplin yang kukuh dan menjadi satu wadah untuk mahasiswa sendiri mengasah kemahiran komunikasi, kepimpinan, pengurusan program serta memperkukuh nilai empati dan tanggungjawab sosial dalam diri kami sebagai generasi muda.

Melalui penglibatan secara langsung bersama pelajar sekolah, mahasiswa juga dapat memahami realiti cabaran pendidikan di peringkat akar umbi dan menyumbang secara bermakna kepada pembangunan sahsiah generasi seterusnya.