Oleh : Muhammad Whafizuddin Majid 

Tanjong Malim, 26 Mac 2025 – Bersempena dengan kemuncak program Mahabbah Ramadan FPE 2025, satu Majlis Khatam  Al-Quran telah diadakan pada bagi meraikan pencapaian para peserta yang telah  berjaya menamatkan bacaan Al-Quran sepanjang bulan Ramadan.

Majlis ini dianjurkan oleh  Persatuan Pengurusan dan Ekonomi Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (PPEFPE) dengan  kerjasama UPSI Economics (UPSINOMICS), UPSI Accountant Society (UPSIAS), UPSI  Financial Planning Club (UFPC), Human Resource Management Club (HRMC), Kelab  Keusahawanan serta Fakulti Pengurusan dan Ekonomi.

Penganjuran majlis ini mencerminkan  komitmen fakulti dalam menyemarakkan nilai-nilai keagamaan dan memperkukuh  penghayatan spiritual dalam kalangan warga kampus. 

Majlis Khatam Al-Quran ini bertujuan untuk memupuk kecintaan kepada Al-Quran melalui  pemahaman terhadap sejarah penurunan wahyu suci ini, di samping membudayakan amalan  membaca Al-Quran dalam kehidupan seharian.

Selain itu, program ini juga bertujuan untuk mengajak para peserta menghayati keistimewaan serta keberkatan bulan Ramadan yang  merupakan bulan penuh rahmat, keampunan dan pembebasan dari api neraka. 

Program ini dijalankan secara dalam talian melalui platform Google Meet bagi memberi ruang  kepada penyertaan yang lebih luas dalam kalangan mahasiswa dan staf fakulti. Seramai 75  peserta telah berdaftar serta menyertai majlis ini hingga ke akhirnya.

Seramai 16 peserta telah  dipilih untuk mengetuai bacaan dalam sesi Khatam Al-Quran tersebut, yang berlangsung  dengan penuh khusyuk dan tertib. 

Majlis ini bukan sahaja menjadi simbol penutup bagi program Tadarus Al-Quran yang  berlangsung sepanjang Ramadan, malah turut menjadi medan untuk memperkukuh ukhuwah  serta menyemai semangat cintakan Al-Quran dalam kalangan warga fakulti.

Diharapkan majlis  sebegini dapat diteruskan dan diperkasa pada masa akan datang bagi melahirkan mahasiswa/i  yang seimbang dari segi akademik dan kerohanian.