Oleh: Muhammad Whafizuddin Majid 

Tanjong, Malim, 19 Mac 2025 – Sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE)  telah menganjurkan satu program ceramah bertajuk “Ceramah Lailatul Qadar”.

Program ini dianjurkan oleh Persatuan Pengurusan dan Ekonomi Fakulti Pengurusan dan  Ekonomi (PPEFPE). Ceramah ini bertujuan untuk memberikan pencerahan kepada  mahasiswa/i mengenai keistimewaan malam Lailatul Qadar serta kepentingannya dalam  kehidupan seorang Muslim. 

Ceramah ini disampaikan oleh penceramah jemputan, Dr. Ahmad Zakirullah Mohamed  Shaarani, seorang pensyarah dari Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE).

Dengan kepakaran  dan pengalaman luas dalam bidang agama serta pengurusan Islam, beliau telah berkongsi ilmu  mengenai tanda-tanda malam Lailatul Qadar, kelebihan yang terdapat dalam malam tersebut  serta amalan yang dianjurkan untuk meraih keberkatan daripada Allah SWT. 

Objektif utama program ini adalah untuk menerapkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan  seharian mahasiswa/i agar mereka dapat menghayati dan mengamalkan ajaran Islam dengan  lebih baik.

Selain itu, program ini juga bertujuan untuk meningkatkan pemahaman peserta  mengenai malam Lailatul Qadar secara lebih mendalam serta mengembangkan akhlak mulia  dalam kalangan mahasiswa/i yang terlibat.

Dengan adanya program sebegini, diharapkan para  peserta dapat mengamalkan ilmu yang diperoleh serta menjadikan bulan Ramadan sebagai  peluang untuk meningkatkan ibadah dan memperbaiki diri. 

Program ini dijalankan secara dalam talian melalui platform Google Meet bagi membolehkan  penyertaan yang lebih meluas.

Sambutan yang diterima sangat menggalakkan dengan seramai  200 lebih peserta telah berdaftar dan menyertai sepanjang sesi ceramah. Kehadiran yang  mencapai sasaran membuktikan minat yang tinggi dalam kalangan mahasiswa/i terhadap  program berbentuk keagamaan seperti ini. 

Dengan kejayaan penganjuran ceramah ini, diharapkan program-program sebegini dapat  diteruskan pada masa akan datang bagi membentuk mahasiswa/i yang bukan sahaja cemerlang  dalam akademik tetapi juga memiliki sahsiah yang tinggi serta kefahaman agama yang mantap.