Sesi bergambar kenangan barisan penyelidik KTP FPE UPSI, wakil KRT Proton City, dan para peserta bengkel.

oleh Prof. Madya Dr. Zuraidah Zainol

TANJONG MALIM, 26 Oktober 2026 – Bagi menangani cabaran peningkatan kos sara hidup serta memperkukuh daya tahan ekonomi komuniti setempat, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Proton City telah menganjurkan Program Pemindahan Ilmu Pengurusan Kewangan Berhemah Bagi Mencapai Kesejahteraan Inklusif Dalam Kalangan Suri Rumah B40 Dan Keluarga Berpendapatan Tunggal bertempat di Blok 10, FPE, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI pada Ahad lalu.

Inisiatif komuniti yang dibiayai di bawah Geran Program Pemindahan Ilmu (Knowledge Transfer Programme – KTP) UPSI ini memberi fokus kepada pemerkasaan golongan suri rumah B40 serta wakil keluarga berpendapatan tunggal. Program ini bertujuan mendidik peserta menyusun aliran tunai secara sistematik, mengelakkan kebocoran tunai harian (Latte Factor), serta mengawal perbelanjaan impulsif (impulsive spending) yang berisiko menjejaskan kestabilan kewangan keluarga.

Ketua Projek KTP UPSI, Prof. Madya Dr. Zuraidah Zainol, menjelaskan bahawa inisiatif ini menterjemahkan hasil penyelidikan Skim Geran Penyelidikan Asas (FRGS) Kementerian Pendidikan Tinggi bertajuk Spending Wellness Model for the Malaysian Family Empowerment and Harmonization kepada bentuk latihan praktikal komuniti berasaskan inovasi Kit Jurnal 30 Hari Sejahtera Berbelanja.

” Suri rumah mahupun ketua keluarga berpendapatan tunggal masing-masing menggalas amanah yang amat penting sebagai pengurus kewangan utama isi rumah. Menerusi kit praktikal yang dibangunkan, kami membimbing peserta mengaplikasikan Formula Agihan Bajet 60:20:10:10, Sistem Sampul Bajet Dapur Mingguan, serta kawalan pembelian impulsif melalui Peraturan 72 Jam (72-Hour Rule) dan teknik Pembelian Bijak. Amalan kewangan yang sihat bukan sahaja memastikan kecukupan bajet dapur dan pembentukan tabung kecemasan, malah berupaya mengurangkan tekanan emosi serta memperkukuh keharmonian rumah tangga,” jelas beliau.

Program ini turut melibatkan gandingan kepakaran penyelidik FPE iaitu Dr. Juliana Osman @ Zainal Abidin, Dr. Bahijah Abas, dan Dr. Nazirah Abdul Rohman, bersama wakil komuniti KRT Proton City, Puan Ruhaizawati Abdul Hanan. Sepanjang sesi, para peserta dibimbing secara langsung oleh Siswazah Pelatih (GI), Puan Hajjah Fazuha Naili binti Ab Rahman, dengan dibantu oleh fasilitator daripada kalangan pelajar kursus PPM3013 Pengantar Pemasaran. Selain itu, program ini turut diserikan dengan penyerahan sumbangan waqaf al-Quran daripada Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) UPSI kepada para peserta sebagai nilai tambah rohani dalam memperkasa kesejahteraan institusi kekeluargaan.

Siswazah Pelatih menyampaikan penerangan modul sejahtera berbelanja berasaskan Kit Jurnal 30 Hari Sejahtera Berbelanja kepada para peserta.
Sebahagian peserta terlibat dengan Kit Jurnal 30 Hari Sejahtera Berbelanja
Sesi penyerahan sumbangan naskhah waqaf al-Quran daripada Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) UPSI kepada wakil peserta program.

Sementara itu, Pengerusi KRT Proton City, Encik Mohlis bin Bandi, menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada UPSI atas usaha memasyarakatkan ilmu penyelidikan universiti secara langsung kepada komuniti setempat. Menurut beliau, latihan serta Kit Jurnal yang dibekalkan memberi panduan yang sangat praktikal dan berkesan untuk membantu isi rumah mengurus perbelanjaan harian, membina tabung kecemasan, serta mengelakkan risiko defisit bulanan.

Program ini membuktikan komitmen berterusan UPSI dalam memasyarakatkan hasil penyelidikan universiti ke arah membina daya tahan kewangan komuniti, sekali gus memelihara kestabilan sosioekonomi masyarakat setempat selaras dengan aspirasi Keluarga Sejahtera, Negara Mampan.