Oleh: Irdina Wafa Zulkifli
TANJONG MALIM, 12 Julai 2025 – Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) sekali lagi membuktikan kecemerlangan apabila melakar sejarah dengan meraih 11 anugerah dalam pelbagai kategori sempena Majlis Anugerah Kolej-Kolej Kediaman (MAKK) UPSI 2025 yang berlangsung penuh gilang-gemilang di Dewan Kolej Harun Aminurrashid, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Sorotan utama kejayaan UKLK adalah menerusi Kategori Khidmat Komuniti, apabila Felicia Buah Jepri membawa pulang Pingat Emas hasil pelaksanaan program berimpak tinggi yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat luar bandar.
Kejayaan ini menjadi bukti komitmen mahasiswa UKLK dalam menyantuni komuniti, seiring aspirasi universiti sebagai institusi yang dekat dengan rakyat.
Dalam Kategori Kebudayaan, Marcedolly Majin berjaya meraih Pingat Perak, manakala Asyiqin Rahim turut memenangi Pingat Perak dalam Kategori Kemanusiaan menerusi projek bantuan dan sokongan kepada golongan memerlukan.
Kesedaran terhadap kelestarian alam turut terserlah apabila Asykeen Abdullah memenangi Pingat Gangsa dalam Kategori Alam Sekitar hasil inisiatif mendidik komuniti luar kampus mengenai penjagaan alam sekitar.
Bagi Kategori Pengucapan Awam, Aziq Aiman, Yang di-Pertua Majlis Mahasiswa Kediaman Luar Kampus (MMKLK) Sidang 2024/2025, meraih Pingat Gangsa atas usahanya mengangkat suara mahasiswa luar kampus ke peringkat lebih tinggi.
Sementara itu, Nur Syazwani menerima Pingat Perak dalam Kategori Kerohanian hasil penganjuran program keagamaan yang memberi kesan positif kepada pembentukan sahsiah pelajar.
Kecemerlangan dalam bidang sains dan teknologi turut dibuktikan apabila Nur Fifi meraih Pingat Gangsa bagi Kategori STEM melalui program inovatif berimpak tinggi.
Dalam kategori utama, Anugerah Pemimpin Kolej Kediaman, Irdina Wafa dinobatkan sebagai penerima Pingat Perak atas sumbangannya memimpin organisasi dan menyelaras pelbagai aktiviti mahasiswa luar kampus dengan cemerlang.
Pengetua UKLK, Profesor Madya Ts. Dr. Che Ghani bin Che Kob, menyifatkan kejayaan ini sebagai pencapaian besar buat warga UKLK.
“Kejayaan UKLK pada MAKK kali ini amat memberangsangkan dan menjadi bukti kepada setiap usaha dan titisan peluh para MMKLK, felo, pentadbir dan seluruh warga UKLK. Semoga kejayaan ini menjadi titik tolak kepada kecemerlangan yang akan datang,” katanya.



Bagi Anugerah Staf Terbaik, Puan Nur Hidayu binti Abdullah, pentadbir UKLK, dinobatkan sebagai penerima anugerah tersebut atas komitmen luar biasa yang ditunjukkan sepanjang perkhidmatannya.
Tidak ketinggalan, felo-felo UKLK turut mengharumkan nama unit ini apabila Ketua Felo, Puan Nor Hayati Aziz, meraih Anugerah Penasihatan Felo Terbaik, manakala En. Mohd Raizol bin Ramli, Felo Penasihat Exco Kesukarelawanan Komuniti dan Kemanusiaan, memenangi Anugerah Felo Lestari menewaskan calon daripada kolej-kolej kediaman lain.
Kemenangan ini jelas membuktikan bahawa warga UKLK mampu bersaing setanding kolej kediaman lain dalam pelbagai bidang. Ia menjadi simbol kejayaan kerjasama erat antara mahasiswa, felo, staf pengurusan, dan pihak pentadbiran UKLK dalam memperkasa potensi kepimpinan serta sahsiah pelajar luar kampus.

