Bersama pelajar SMK Tekek sewaktu Majlis Perasmian.Bersama pelajar SMK Tekek sewaktu Majlis Perasmian.

Oleh: Irdina Wafa Zulkifli

Pulau Tioman, 5 Ogos 2025 – Seramai 33 orang Majlis Mahasiswa Kediaman Luar Kampus (MMKLK) sidang 2025/2026 telah menyertai Program Transformasi Kepimpinan Mahasiswa UKLK 2025 yang berlangsung dari 2 hingga 5 Ogos 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Tekek, Pulau Tioman, Pahang bagi menyertai Program Transformasi Kepimpinan Mahasiswa UKLK 2025.

Program ini turut disertai 17 orang felo, staf dan pengetua Unit Kediaman Luar Kampus, dengan sokongan penuh Pengetua Kolej Za’ba, Kolej Aminuddin Baki dan Kolej Ungku Omar.

Kehadiran istimewa Yang Berusaha Profesor Dr. Norkhalid Salimin, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TNC HEPA), yang turut merasmikan program, menambahkan lagi nilai signifikan penganjuran kali ini.

TNC HEPA sewaktu memberi ucapan dalam majlis perasmian.

Dirangka sebagai platform strategik, program ini bertujuan membentuk barisan kepimpinan mahasiswa luar kampus yang berintegriti, berketerampilan dan berdaya saing.

Ia juga memberi pendedahan kepada pemimpin MMKLK mengenai struktur organisasi, gerak kerja pentadbiran serta kemahiran pengurusan dokumentasi rasmi yang penting bagi kelancaran perjalanan organisasi.

Sepanjang empat hari, peserta mengikuti pelbagai modul kepimpinan dan aktiviti luar yang menekankan kemahiran komunikasi berkesan, kerja berpasukan, penyelesaian masalah dan pengurusan masa.

Lokasi penganjuran yang jauh daripada hiruk-pikuk bandar membolehkan peserta memberi tumpuan sepenuhnya kepada pembinaan sahsiah dan pengukuhan jaringan kerjasama antara MMKLK, felo dan pihak pentadbiran.

Menurut Profesor Dr. Norkhalid, penganjuran program seperti ini amat digalakkan kerana bukan sahaja memberi ruang kepada barisan kepimpinan mahasiswa untuk merancang hala tuju organisasi, malah mendedahkan mereka kepada ilmu dan pengalaman baharu yang bermanfaat.

“Mahasiswa luar kampus perlu memiliki nilai kepimpinan yang tinggi, kemahiran komunikasi yang mantap, dan kesediaan berkhidmat untuk komuniti. Program seperti ini adalah medan terbaik untuk melahirkan pemimpin sebegitu,” katanya ketika merasmikan program.

Pengetua UKLK bersama barisan kepimpinan MMKLK sidang 2025/2026, barisan felo dan pentadbir UKLK.
Slot Pembentangan Program oleh Barisan Exco dan Bengkel Pembentukan Takwim

Bagi Irdina Wafa Zulkifli, YDP MMKLK 2025/2026, pengalaman ini amat berharga kerana memberi peluang untuk menguji kemampuan diri dalam situasi sebenar.

“Aktiviti lasak dan sesi latihan kepimpinan di sini membuka mata saya bahawa menjadi pemimpin memerlukan bukan sahaja idea dan perancangan, tetapi juga ketahanan mental, fizikal dan hati yang kuat,” ujarnya.

Secara keseluruhannya, Program Transformasi Kepimpinan Mahasiswa UKLK 2025 berjaya mencapai objektifnya sebagai medan latihan kepimpinan yang mencabar minda dan fizikal, di samping membentuk pemimpin komuniti luar kampus yang bersedia memikul amanah dengan penuh dedikasi dan integriti.