Oleh : Muhammad Adam Iskandar Hashim
TANJONG MALIM, 23 Oktober – Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Pusat Islam UPSI dan Jabatan Agama Islam Daerah Muallim telah berjaya menganjurkan forum bertajuk “Bukan Menghakimi, Tapi Memimpin: Tegur Dengan Hikmah, Bina Dengan Kasih” baru-baru ini.
Program yang berlangsung dari jam 8.00 hingga 10.00 malam itu diadakan di Bangunan Bitarasiswa, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS), UPSI dengan penglibatan peserta seramai 90 orang pelajar UPSI secara fizikal, manakala siaran langsung TikTok berjaya memperoleh sebanyak 385 tontonan daripada pelbagai lapisan komuniti.
Sesi forum ini mengupas tentang garis halus antara tanggungjawab menegur dengan sikap mengaibkan orang lain, terutamanya menerusi fenomena cancel culture dan kecaman siber di media sosial. Barisan panel menekankan pentingnya mengamalkan teguran hikmah bagi membina kekuatan moral serta jati diri mahasiswa tanpa mengetepikan adab berdakwah.
Dalam menangani cabaran alam maya, para peserta diingatkan agar budaya menegur tidak meleret sehingga menjadi perbuatan mencari aib atau mendedahkan kesilapan di khalayak ramai. Sebaliknya, pendekatan berhikmah dan keberanian moral perlu dipupuk dalam kalangan anak muda agar budaya amar makruf nahi mungkar dapat diterapkan secara positif dalam kehidupan seharian.



Pengetua UKLK, Profesor Madya Ts. Dr. Che Ghani bin Che Kob berkata program seperti ini amat bermakna dalam usaha membentuk persekitaran sekolah yang bukan sahaja menitikberatkan kecemerlangan akademik, malah turut mengutamakan pembentukan sahsiah, nilai kemanusiaan dan kepimpinan yang berkesan.
“Ingatlah bahawa kepimpinan yang sebenar bukan tentang seberapa cepat kita menghukum seseorang, tetapi tentang sejauh mana kita mampu membimbingnya ke arah perubahan yang lebih baik,” kata beliau.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen tinggi UPSI bersama Jabatan Agama Islam Daerah Muallim dalam memperkukuh pembangunan sahsiah. Usaha seumpama ini diharapkan dapat melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki akhlak terpuji serta berupaya menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang harmoni dan sejahtera.
