Oleh : Annisa Sajidah Md Din
Kuala Lumpur, 1 Ogos 2025: Program Kembara Nurani: Street of Knowledge merupakan inisiatif dakwah lapangan yang dilaksanakan dengan penuh rasa keinsafan dan semangat kesukarelawanan. Program ini memberi tumpuan kepada golongan gelandangan serta masyarakat miskin bandar melalui pendekatan berteraskan empati, keprihatinan sosial dan penyampaian ilmu asas kehidupan yang merentas semua peringkat umur.
Inisiatif ini turut disertai penyampaian sumbangan ikhlas daripada Pusat Ulul Albab dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat secara langsung dalam usaha menyantuni komuniti marginal tersebut.
Program ini telah dijalankan dengan kerjasama utama daripada Pertubuhan Kebajikan Ikhlas Al-Mawaddah (MyKasih Care) dan turut mendapat sokongan serta penglibatan aktif daripada NGO Food4U dan Food For Gelandangan (FFG). Seramai 37 orang mahasiswa UPSI daripada pelbagai peringkat pengajian daripada Diploma dan Sarjana Muda yang telah menyertai program ini, diiringi oleh lima orang pegawai daripada Pusat Ulul Albab (PUA). Antara aktiviti yang dilaksanakan sepanjang program termasuklah agihan makanan, agihan kit pembersihan diri, barang dapur, pakaian, demonstrasi pengurusan jenazah, serta sesi pengajaran doa harian kepada kanak-kanak.

Pada jam 5.00 petang, berlangsung sesi bersama NGO Food4U di Pusat Pembelajaran Komuniti, di mana para peserta didedahkan kepada tujuan penubuhan pusat ini, yang antara lainnya bertujuan menyediakan kemudahan dan sumbangan makanan kepada gelandangan dan komuniti miskin bandar. Dalam sesi ini, peserta turut terlibat secara langsung dalam proses pengagihan makanan serta menyantuni golongan sasaran. Menurut maklumat yang diberikan oleh Mr. Tony, pengasas Food4U, seramai 100 orang daripada golongan gelandangan dan miskin bandar telah hadir bagi menerima manfaat daripada pengagihan ini.



Pada jam 9.30 malam, berlangsung pula sesi bersama NGO Food For Gelandangan (FFG) yang turut disertai oleh pelbagai pihak lain termasuk agensi kerajaan dan institusi pengajian tinggi. Antara yang hadir termasuk 50 orang pegawai daripada Kementerian Pendidikan, mahasiswa/i daripada UTHM, UKM, dan UniKL (melalui wakil Persatuan Mahasiswa Anak Selangor), serta mahasiswa daripada KPTM. Turut serta adalah hampir 30 orang wakil NGO, termasuk daripada MyKasih Care, Food For Gelandangan, Persatuan Doktor-Doktor Islam Malaysia, Yayasan Food Bank Malaysia, serta Law Practice of Junny Erfisyahry dan beberapa pertubuhan lain.



Dari jam 9.30 malam hingga 2.00 pagi, para peserta telah dibahagikan kepada dua kumpulan besar untuk melaksanakan pengagihan makanan kering dan kit pembersihan diri kepada kira-kira 150 orang gelandangan di sekitar kawasan Jalan Silang, Central Market, Jalan Cahaya Suria/UTC, dan Segi College. Selepas selesai, peserta bergerak ke kawasan Jalan Belia untuk meneruskan aktiviti agihan makanan, barangan dapur dan pelbagai keperluan asas lain. Di lokasi ini, turut diadakan demonstrasi pengurusan jenazah oleh NGO MyKasih Care serta sesi pengajaran doa harian oleh mahasiswa UPSI kepada kira-kira 200 orang daripada kalangan gelandangan dan komuniti miskin bandar yang hadir.
Menurut rekod sumbangan yang dikongsikan oleh MyKasih Care dan Food For Gelandangan, hasil kutipan serta tajaan daripada lapan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Pusat Ulul Albab berjaya menyediakan pelbagai bantuan untuk komuniti terbabit. Antara sumbangan tersebut termasuklah 120 set barangan dapur, 300 set kit pembersihan diri, 75 set lampin pakai buang dan susu, 20 set permainan kanak-kanak, 100 helai pakaian preloved lelaki dan perempuan, 40 naskhah Iqra’, 50 naskhah al-Quran serta 50 buah rehal.
Selain itu, beberapa NGO turut menyumbang makanan dan minuman, daripada peniaga Nasi Lemak Burger Batu 6 termasuk organisasi McDonald’s yang telah memberikan set burger dan minuman kepada golongan sasaran.
Penyertaan dalam program ini memberikan impak mendalam kepada para mahasiswa UPSI. Ia bukan sahaja membuka ruang untuk mereka berinteraksi secara langsung dengan komuniti yang kurang bernasib baik, malah turut membina nilai empati, kematangan sosial, serta kesedaran sivik dalam kalangan peserta. Melalui pengalaman dakwah lapangan yang menyantuni insan marginal ini, mahasiswa turut terdidik untuk menjadi insan yang bukan sahaja berilmu tetapi juga berbakti kepada masyarakat.
Semoga program seumpama ini dapat diteruskan dan diperluas pada masa hadapan, demi menyuburkan nilai kemanusiaan dalam kalangan generasi muda serta menyemarakkan semangat dakwah yang inklusif dan penuh kasih sayang terhadap seluruh lapisan masyarakat.
