Seluruh peserta Santun Varsiti : Kelestarian Bersama berkumpul sebelum bertolak ke Kampung Orang Asli Ulu Batu, SelangorSeluruh peserta Santun Varsiti : Kelestarian Bersama berkumpul sebelum bertolak ke Kampung Orang Asli Ulu Batu, Selangor

oleh Nurul Huda Ashikin

Selangor- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus komited dalam melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga memiliki kesedaran sosial serta kepekaan terhadap masyarakat.

Sejajar dengan hasrat tersebut, Persatuan Siswa Siswi Pertahanan Awam (PASISPA) UPSI telah menganjurkan Program Santun Varsiti: Kelestarian Bersama pada 2 Mei 2026 yang bertempat di Kampung Orang Asli Ulu Batu, Selangor.

Program ini memberi peluang kepada mahasiswa untuk turun ke lapangan, berinteraksi secara langsung dengan komuniti Orang Asli serta memahami realiti kehidupan mereka dengan lebih dekat.

Program ini bukan sekadar aktiviti sukarelawan biasa, malah menjadi ruang pembelajaran di luar bilik kuliah yang mampu membentuk nilai empati, tanggungjawab dan keprihatinan dalam diri mahasiswa.

Program Santun Varsiti: Kelestarian Bersama ini dilaksanakan dengan tujuan untuk memupuk kesedaran dalam kalangan peserta melalui penglibatan secara langsung dalam aktiviti kemasyarakatan bersama komuniti Orang Asli.

Melalui pengalaman tersebut, peserta dapat memahami realiti kehidupan masyarakat serta meningkatkan kepekaan terhadap keperluan komuniti setempat.

Selain itu, program ini juga bertujuan membentuk tanggungjawab sosial dalam kalangan peserta selaras dengan pembangunan sahsiah dan jati diri mahasiswa.

Dalam masa yang sama, program ini berperanan menanam minat pelajar terhadap aktiviti kesukarelawanan, sekali gus menggalakkan penglibatan aktif dalam program berbentuk komuniti.

Di samping itu, penglibatan secara langsung di lapangan turut memberi pendedahan serta menambah ilmu dan pengalaman pelajar di luar bidang akademik, yang secara tidak langsung membantu perkembangan kemahiran diri serta pembentukan nilai murni dalam kalangan mahasiswa.

Dalam ucapan perasmian, Encik Mohamad Amin bin Idris, Pembantu Pegawai yang mewakili Profesor Dr. Mohd Azlan bin Nafiah, Pengarah Pusat Transformasi Komuniti (UCTC), menyatakan bahawa usaha murni seperti ini mencerminkan keprihatinan dalam memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi dengan komuniti setempat, khususnya komuniti Orang Asli.

Beliau turut menegaskan bahawa program seperti Santun Varsiti: Kelestarian Bersama berperanan sebagai wahana pembelajaran di luar bilik kuliah serta mampu menyemai nilai kesukarelawanan yang tinggi dalam diri mahasiswa.

Selain itu, beliau menekankan bahawa budaya sukarelawan amat penting dalam membentuk generasi muda yang prihatin, bertanggungjawab dan sentiasa bersedia untuk menyumbang kepada masyarakat.

Program ini turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada barisan rakan kolaborasi, iaitu Pusat Transformasi Komuniti (UCTC), Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni serta WEZAS, atas kerjasama dan sokongan yang diberikan dalam menjayakan program ini.

Ahli Jawatankuasa  Santun Varsiti:  Kelestarian Bersama melaksanakan aktiviti sukaneka bersama anak-anak penduduk Kampung Orang Asli Ulu Batu, Selangor
Seluruh peserta Santun Varsiti: Kelestarian Bersama dan penduduk bersama VIP di Surau An-Nur, Kampung Orang Asli Ulu Batu, Selangor 
Ahli Jawatankuasa bersama-sama melaksanakan aktiviti Akar Lestari di kawasan perumahan Kampung Orang Asli Ulu Batu, Selangor

Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan yang melibatkan mahasiswa dan komuniti setempat. Antaranya termasuk aktiviti Akar Lestari yang memberi kesedaran tentang kepentingan penjagaan alam sekitar serta Share to Care yang memfokuskan kepada asas bantuan kecemasan seperti CPR dan teknik balutan.

Selain itu, aktiviti Coloring The Joy berjaya mewujudkan suasana ceria bersama kanak-kanak, manakala Dapur Komuniti menggalakkan semangat kerjasama melalui penyediaan makanan secara bersama.

Aktiviti Threads of Kindness pula menjadi simbolik kepada hubungan erat yang terjalin antara mahasiswa dan komuniti sepanjang program ini. Kesemua aktiviti ini bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti, malah turut memberikan pengalaman berharga kepada peserta dalam memahami nilai kesukarelawanan secara praktikal.

Secara keseluruhannya, Program Santun Varsiti: Kelestarian Bersama berjaya mencapai objektif yang telah ditetapkan dalam membentuk mahasiswa yang lebih peka, bertanggungjawab dan prihatin terhadap masyarakat.

Program ini juga merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pertama di bawah anjuran Persatuan Siswa Siswi Pertahanan Awam (PASISPA) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Sehubungan itu, Timbalan Yang Dipertua PASISPA UPSI merangkap Pengarah Program, Nur Lina Khalidah binti Razali, menyatakan harapan agar program ini menjadi titik permulaan bagi persatuan ini serta menjadi pencetus kepada pelaksanaan lebih banyak program yang memberi manfaat kepada komuniti pada masa akan datang, sekali gus memperkukuh peranan mahasiswa dalam menyumbang kepada pembangunan masyarakat secara berterusan.