Oleh: Nazatul Najwa Rossimy
Tanjong Malim, 10 Ogos 2025 – Suasana malam Ahad menjadi lebih bermakna buat 150 mahasiswa baharu UPSI apabila mereka menyertai program Ready, Set, Uni! secara dalam talian melalui aplikasi Google Meet bermula jam 9.00 malam. Program anjuran PEMBINA UPSI ini direka khas untuk memberi panduan awal sebelum mereka menempuhi cabaran dunia kampus.

Dengan gaya santai tapi padat dengan isi, peserta dibimbing oleh dua orang panel jemputan yang hebat dan berpengalaman iaitu Mohammad Arif Aizat Sukry, YDP Majlis Perwakilan Pelajar UPSI sidang 2024/2025 dan Mohammad Nazri Munjong, YDP PEMBINA UPSI. Antara topik yang dikupas termasuklah cara mengurus masa dengan bijak, teknik belajar kendiri serta bagaimana untuk kekal positif dan berdikari walaupun jauh daripada keluarga. Sepanjang sesi perkongsian dijalankan, panel jemputan turut berkongsi beberapa isi utama yang menjadi tumpuan peserta antaranya pengurusan masa yang berkesan, strategi pembelajaran kendiri, kepentingan sokongan emosi dan kaedah kepimpinan kendiri.
Pengarah program, Nazatul Najwa Rossimy, menyatakan objektif utama adalah membantu mahasiswa baharu memulakan perjalanan akademik dengan penuh keyakinan. “Kami mahu mereka melangkah masuk ke alam kampus dengan rasa bersedia, fokus dan semangat membara”, katanya. Program ini juga mendapat respon positif daripada peserta. “Saya rasa lebih yakin nak mula belajar di UPSI. Tips pengurusan masa yang diberi memang praktikal”, kata salah seorang peserta. Seorang lagi peserta menambah, “walaupun program atas talian, suasana dia rasa ‘dekat’. Saya rasa tak sabar nak gunakan tips yang dikongsi oleh panel pada hari ini”. Penasihat program, Dr. Nur Munira Azman, turut menitipkan pesan bermakna kepada peserta, “kampus adalah tempat di mana anda akan menemui potensi diri yang sebenar. Jangan takut mencuba, jangan malu untuk bertanya dan sentiasa berani keluar dari zon selesa. Inilah masa untuk membina masa depan anda”.

Menariknya, pihak penganjur mengumumkan bahawa 10 peserta pertama yang mendaftar sebagai ahli PEMBINA UPSI akan menerima hadiah misteri yang akan disampaikan pada tarikh yang akan dimaklumkan kemudian. PEMBINA UPSI turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program ini, khususnya kepada Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) UPSI serta Fakulti Sains dan Matematik (FSM) UPSI atas kelulusan dan sokongan penuh terhadap penganjuran program Ready, Set, Uni!.
