Oleh: Nazirah Lee dan Gwynezel Iven Anak Gejiol
Tanjong Malim- Semangat menimba ilmu merentasi benua membawa seorang pelajar Jabatan Sejarah, Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Gwynezel Iven Anak Gejiol ke bumi matahari terbit apabila terpilih menyertai program mobiliti berkredit antarabangsa Hiroshima and Peace 2025 anjuran Hiroshima City University, Jepun.
Gwynezel Iven berlepas ke Hiroshima pada penghujung Julai lalu bagi mengikuti program yang berlangsung selama dua minggu.
Program ini turut disertai oleh pensyarah pengiring, Prof. Madya Dr. Nazirah Lee dari Jabatan Sejarah, FSK, yang bertanggungjawab membimbing dan memantau penglibatan pelajar sepanjang program tersebut.



Hiroshima adalah bandar penting dalam sejarah Perang Dunia Kedua. Perang ditamatkan selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom sehingga memaksa Jepun menyerah kalah. Peserta berpeluang berinteraksi dengan Hibakusha, mangsa yang terselamat daripada pengeboman atom yang berkongsi pengalaman peribadi mereka.
Kisah mereka menjadi teladan dan bukti langsung yang menunjukkan kesan dahsyat senjata nuklear kepada manusia. Kisah dan tragedi di Hiroshima menyingkap kesedaran kemanusiaan kerana ia turut berkaitan dengan isu global pada masa kini, termasuk kebimbangan terhadap tragedi genosid di Palestin.
Peristiwa pengeboman atom di Hiroshima pada Ogos 1945 meruntuhkan hampir keseluruhan bandar Hiroshima. Ribuan penduduk terbunuh dan antara mereka adalah 20 mangsa dari Asia Tenggara. Data rasmi menunjukkan lima daripada mereka adalah dari Tanah Melayu. Namun terdapat juga mangsa pengeboman dari Tanah Melayu yang selamat dan berjaya pulang ke Tanah Melayu. Ringkasnya, peristiwa pengemboman bom atom di Hiroshima turut melibatkan penduduk Tanah Melayu. Salah seorang daripada mereka (Razak Sensei) melanjutkan pelajaran di Sultan Idris Training College setelah Perang Dunia Kedua berakhir. Jelasnya, peristiwa pengeboman bom atom di Hiroshima mempunyai sisi sejarah menarik yang perlu diketengahkan dalam penulisan sejarah tanah air.
Sebagai kemuncak program, peserta menghadiri upacara tahunan memperingati pengeboman atom Hiroshima yang dihadiri ribuan hadirin daripada 120 negara serta penduduk tempatan. Pengalaman ini membuka ruang pembelajaran lintas budaya dan memperkukuh kesedaran global dalam kalangan peserta.
Penyertaan dalam program ini bukan sahaja memberi pengetahuan akademik berhubung sejarah Asia Timur pada abad ke-20, tetapi juga membina jiwa pendidik yang prihatin terhadap keamanan sejagat.
