Oleh : Ahmad Nurzid Bin Rosli
PETALING JAYA – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus melakar sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai juara pertandingan CCC’s Adobe Certified Professional (ACP) Malaysia National Championship 2026 yang diadakan di Marriott Hotel, Petaling Jaya pada 14 Mei lepas.
Kemenangan membanggakan tersebut diraih oleh mahasiswa Program Pendidikan (Teknologi Maklumat) daripada Fakulti Komputeran dan META-Teknologi (META) UPSI, Muhammad Fawwaz Haiqal Bin Mohd Fuaad. Beliau berjaya membawa pulang hadiah kemenangan berupa tajaan perjalanan bernilai RM24,000.00 sekali gus melayakkan diri mewakili Malaysia ke peringkat akhir Adobe Certified Professional (ACP) World Championship di Anaheim, California, Amerika Syarikat yang dijadualkan berlangsung dari 26 hingga 29 Julai depan.

Pertandingan tahunan anjuran CCC yang memasuki edisi ke-11 ini merupakan sebahagian daripada Kejohanan Kebangsaan Adobe Certified Professional dan Microsoft Office Specialist Malaysia 2026. Bertemakan “Bridging Gaps, Empowering Malaysia”, edisi kali ini memfokuskan kepada pembangunan masyarakat inklusif selari dengan visi Almarhum Tunku Abdul Rahman, dengan kerjasama Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) serta rakan strategik NGO.
Daripada keseluruhan lebih 1,000 penyertaan melibatkan pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT) dari seluruh negara, hanya tiga peserta terbaik dipilih sebagai pemenang bagi kategori ACP:
- Johan: Muhammad Fawwaz Haiqal Bin Mohd Fuaad (UPSI) – Menerima tajaan perjalanan ke Kejohanan Dunia bernilai RM24,000 ditaja oleh pihak Acestar.
- Naib Johan: Menerima komputer riba HP ZBook Ultra 14 inci G1a bernilai RM12,500.
- Tempat Ketiga: Menerima monitor PC bernilai RM4,4280.
Di peringkat antarabangsa kelolaan Certiport nanti, kemahiran peserta bakal diuji dalam menghasilkan poster kreatif dan informatif untuk organisasi bukan berasaskan keuntungan (NGO) yang dipilih penganjur menggunakan perisian Adobe Photoshop, Illustrator dan InDesign.
Ketua Pegawai Eksekutif Acestar, Natalie Sit berkata, platform berkenaan merupakan salah satu pentas terbaik bagi bakat digital baharu mengetengahkan kemahiran kreatif dan literasi digital mereka.
“Komuniti Creative Cloud dan Acestar Group mengalu-alukan lebih ramai pemimpin industri untuk tampil memberikan sokongan kepada para pemenang agar mereka dapat mewakili Malaysia dengan bangga ke Kejohanan Dunia Certiport 2026 di Amerika Syarikat. Kejohanan hari ini bukan lagi sekadar pertandingan, tetapi sebuah platform yang membawa harapan, membina keyakinan diri, serta mencipta peluang transformasi kehidupan kepada generasi muda melalui kreativiti dan kemahiran digital,” katanya.
Kejayaan cemerlang Muhammad Fawwaz Haiqal ini mendapat bimbingan daripada Encik Ahmad Nurzid Rosli dari Jabatan Sains Komputer dan Teknologi Digital, manakala Puan Nur Saadah binti Fathil bertindak selaku penasihat sepanjang pertandingan.

Bagi edisi 2026, barisan juri tempatan yang menilai hasil kerja peserta terdiri daripada Constantine Chew (Ketua Kreatif di McCANN Kuala Lumpur), Richard Jacobson (Ketua Pegawai Pemasaran di IBM) dan Wang Ie Tjer (Pengarah Kreatif Eksekutif di The Shout Group). Manakala panel juri antarabangsa pula dibintangi oleh Theresa Jackson (Pengurus Program di CreativePro Network), Bert Monroy (Artis Digital di Bert Monroy Inc.) serta Jesus Ramirez (Artis dan Pendidik bagi Adobe).
Menambahkan lagi kemeriahan acara kemuncak tersebut, turut berlangsung ialah Micro-Credentials Education Summit (MCES) 2026 edisi kelima yang dihadiri lebih 300 delegasi tempatan dan antarabangsa melibatkan 110 IPT, wakil kementerian, agensi kerajaan serta pemain industri. Sidang kemuncak berkenaan telah dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.
Pencapaian luar biasa Muhammad Fawwaz Haiqal ini bukan sahaja mengangkat namanya, bahkan turut mengukuhkan reputasi UPSI sebagai institusi yang berjaya melahirkan bakat digital bertaraf dunia dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
