Tanjong Malim- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mencipta kejayaan apabila menjuarai pertandingan CCC’s Adobe Certified Professional (ACP) Malaysia National Championship 2026 dengan membawa pulang hadiah kemenangan bernilai RM24,000.00, sekali gus melayakkan saudara Muhammad Fawwaz Haiqal Bin Mohd Fuaad ke pertandingan akhir Adobe Certified Professional (ACP) World Championship yang akan berlangsung di Anaheim, United States.
Muhammad Fawwaz Haiqal bin Mohd Fuaad, mahasiswa Program Pendidikan (Teknologi Maklumat) daripada Fakulti Komputeran dan META-Teknologi (META), UPSI, telah mengharumkan nama universiti apabila dinobatkan sebagai johan CCC’s Adobe Certified Professional (ACP) Malaysia National Championship 2026. Kejayaan membanggakan ini membolehkan beliau mewakili Malaysia ke peringkat dunia, sekaligus meneruskan legasi kecemerlangan pelajar META dalam bidang reka bentuk kreatif dan pensijilan profesional antarabangsa.

Adobe Certified Professional World Championship yang dianjurkan oleh Certiport merupakan pertandingan berprestij bertaraf antarabangsa yang menguji kemahiran peserta dalam mereka bentuk poster kreatif menggunakan Adobe Photoshop, Illustrator dan InDesign. Peserta dari seluruh dunia akan mewakili negara masing-masing dalam menghasilkan satu poster yang informatif dan kreatif untuk organisasi bukan berasaskan keuntungan yang dipilih oleh pihak penganjur. Tahun ini, kreativiti, ketelitian serta kemahiran digital dalam mereka bentuk poster yang dipamerkan oleh Muhammad Fawwaz Haiqal telah berjaya menempatkan beliau dalam kelompok bakat terbaik untuk bersaing di pentas antarabangsa.
Kejohanan Kebangsaan ACP Malaysia merupakan sebahagian daripada Kejohanan Kebangsaan Adobe Certified Professional (ACP) dan Microsoft Office Specialist Malaysia (MOS) 2026 anjuran Acestar Sdn. Bhd. Pertandingan tahunan ini terbuka kepada belia berusia antara 13 hingga 22 tahun dan bertujuan menguji keupayaan peserta dalam menghasilkan kandungan kreatif dan inovatif menggunakan perisian Adobe. Tahun 2026 menandakan edisi ke-11 penganjuran pertandingan ini yang berlangsung dengan kerjasama Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) serta rakan strategik NGO.
Bertemakan “Bridging Gaps, Empowering Malaysia”, pertandingan tahun ini menekankan pembangunan masyarakat Malaysia yang inklusif dan diperkukuh melalui kepelbagaian rakyatnya. Selari dengan visi Almarhum Tunku Abdul Rahman, tema ini mengetengahkan kepentingan merapatkan jurang dalam pendidikan, peluang dan pembangunan belia bagi melahirkan generasi pemimpin masa hadapan yang mampu membawa perubahan positif kepada komuniti dan negara. Melalui platform seperti ACP, bakat-bakat muda daripada pelbagai latar belakang diberi peluang untuk menyerlahkan potensi mereka dalam bidang kreativiti dan teknologi digital di peringkat nasional mahupun antarabangsa.
Daripada lebih 1,000 penyertaan yang melibatkan pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi dari seluruh negara, hanya tiga peserta terbaik dipilih sebagai pemenang bagi kategori ACP. Johan ACP 2026 menerima tajaan perjalanan bernilai RM24,000 ke Anaheim, California, Amerika Syarikat bagi menyertai Kejohanan Dunia yang akan berlangsung dari 26 Julai hingga 29 Julai 2026 di taja oleh pihak Acestar. Naib johan pula menerima komputer riba HP ZBook Ultra 14 inci G1a yang bernilai RM12,500 manakala tempat ketiga menerima monitor pc yang bernilai RM4,4280.
Panel juri bagi pertandingan tahun ini terdiri daripada barisan profesional industri kreatif dan teknologi dari dalam serta luar negara yang berpengalaman luas dalam bidang masing-masing. Bagi juri dalam negara, panel terdiri daripada Constantine Chew yang merupakan Ketua Kreatif di McCANN Kuala Lumpur, Richard Jacobson selaku Ketua Pegawai Pemasaran (CMO) di IBM, serta Wang Ie Tjer yang memegang jawatan Pengarah Kreatif Eksekutif di The Shout Group.Sementara itu, bagi juri antarabangsa pula, panel terdiri daripada Theresa Jackson yang merupakan Pengurus Program di CreativePro Network, Bert Monroy selaku Artis Digital di Bert Monroy Inc., serta Jesus Ramirez yang dikenali sebagai Artis dan Pendidik bagi Adobe.

Kejayaan Muhammad Fawwaz Haiqal turut dibimbing oleh Encik Ahmad Nurzid Bin Rosli dari Jabatan Sains Komputer dan Teknologi Digital, manakala Puan Nur Saadah binti Fathil berperanan sebagai penasihat sepanjang pertandingan berlangsung. Sokongan, tunjuk ajar dan bimbingan yang diberikan menjadi antara faktor penting kepada kejayaan yang diraih, sekaligus membuktikan komitmen UPSI dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi serta berdaya saing dalam bidang teknologi kreatif dan digital.
Menurut Natalie Sit, Ketua Pegawai Eksekutif Acestar, “Platform ini merupakan salah satu pentas terbaik bagi bakat digital baharu untuk mengetengahkan kemahiran kreatif dan literasi digital mereka. Komuniti Creative Cloud dan Acestar Group mengalu-alukan lebih ramai pemimpin industri untuk tampil memberikan sokongan kepada para pemenang agar mereka dapat mewakili Malaysia dengan bangga ke Kejohanan Dunia Certiport 2026 di Amerika Syarikat.” Beliau turut menambah bahawa kejohanan pada hari ini bukan lagi sekadar pertandingan, tetapi sebuah platform yang membawa harapan, membina keyakinan diri, serta mencipta peluang transformasi kehidupan kepada generasi muda melalui kreativiti dan kemahiran digital.
Menambahkan lagi kemeriahan acara, turut berlangsung ialah Micro-Credentials Education Summit (MCES) 2026 edisi kelima dengan penyertaan lebih 300 delegasi tempatan dan antarabangsa yang terdiri daripada wakil kementerian, agensi kerajaan, pemain industri serta 110 institusi pengajian tinggi. Sidang kemuncak tersebut telah dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, bersempena acara kemuncak Kejohanan Kebangsaan ACP dan MOS Malaysia 2026.
Pencapaian Muhammad Fawwaz Haiqal Bin Mohd Fuaad bukan sahaja menyerlahkan keupayaan luar biasanya dalam pertandingan ini, malah turut mengangkat nama Universiti Pendidikan Sultan Idris sebagai institusi yang berjaya melahirkan bakat digital bertaraf dunia. Seluruh warga UPSI dan rakyat Malaysia pastinya akan terus memberikan sokongan penuh dan doa kejayaan beliau menjelang Kejohanan Dunia pada Julai nanti dengan harapan kejayaan yang lebih gemilang bakal dilakar di pentas antarabangsa.
