Oleh: Dr. Norshahila Ibrahim

TANJONG MALIM, 5 Jun 2026 – Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), telah menerima kunjungan akademik daripada delegasi institusi pendidikan tinggi Indonesia yang terdiri daripada Universitas Mercu Buana Yogyakarta (UMBY), STKIP PGRI Lumajang dan STKIP PGRI Bangkalan bagi memperkukuh pelaksanaan kerjasama akademik, penyelidikan dan pengantarabangsaan pendidikan tinggi yang telah terjalin melalui Memorandum Persefahaman (MoU) antara UPSI dan institusi berkenaan.

Delegasi Indonesia diketuai oleh wakil Universitas Mercu Buana Yogyakarta, Dr. Ir. Putri Taqwa Prasetyaningrum, ST., MT., bersama wakil STKIP PGRI Lumajang, Dr. Lukman Jakfar Shodiq, M.Pd, dan wakil STKIP PGRI Bangkalan, Khoirul Anwar, M.Pd. Delegasi telah disambut oleh Dekan FKMT, barisan pengurusan fakulti serta staf akademik yang diketuai oleh Dr. Norshahila Ibrahim selaku penyelaras program.

Lawatan tersebut melibatkan beberapa aktiviti utama termasuk sesi Visiting Lecturer, sesi perkongsian ilmu bersama pelajar FKMT, serta perbincangan strategik berkaitan potensi kerjasama masa hadapan dalam bidang penyelidikan, penerbitan bersama, program mobiliti pelajar dan staf, pembangunan program siswazah serta pelaksanaan projek akademik dan inovasi yang memberi impak kepada kedua-dua institusi.

Dekan FKMT dalam ucapannya menyatakan bahawa lawatan akademik seperti ini memainkan peranan penting dalam memperluaskan jaringan kerjasama antarabangsa dan memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi yang lebih dinamik serta berdaya saing.

“FKMT sentiasa komited untuk memperkukuh hubungan strategik dengan institusi pendidikan tinggi di peringkat antarabangsa. Kerjasama ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pensyarah dan penyelidik melalui aktiviti penyelidikan serta penerbitan bersama, malah membuka lebih banyak peluang kepada pelajar untuk mendapatkan pengalaman pembelajaran global melalui program mobiliti dan pertukaran akademik,” katanya.

Beliau turut berharap agar perbincangan yang telah diadakan dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan program yang lebih komprehensif pada masa akan datang, sekali gus menyumbang kepada agenda pengantarabangsaan UPSI.

Sementara itu, wakil UMBY, Dr. Ir. Putri Taqwa Prasetyaningrum, ST., MT., menyifatkan lawatan tersebut sebagai satu langkah penting dalam membina hubungan akademik yang lebih erat antara institusi pendidikan tinggi Malaysia dan Indonesia.

“Kami melihat banyak potensi kerjasama yang boleh diterokai bersama FKMT, khususnya dalam bidang penyelidikan, penerbitan ilmiah, mobiliti akademik serta pembangunan program siswazah. Kami percaya perkongsian kepakaran dan sumber antara institusi akan memberi manfaat yang besar kepada pembangunan akademik dan profesional warga kedua-dua negara,” ujarnya.

Selain sesi akademik, delegasi turut berpeluang berinteraksi dengan pelajar FKMT melalui sesi perkongsian yang membincangkan pengalaman pembelajaran, budaya akademik serta cabaran dan peluang dalam pendidikan tinggi era digital. Sesi tersebut memberi pendedahan antarabangsa kepada pelajar dan membuka ruang kepada pertukaran idea serta pembinaan jaringan akademik rentas negara.

Lawatan akademik ini diharapkan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif kerjasama strategik yang dapat memperkukuh kecemerlangan akademik, penyelidikan dan inovasi antara FKMT, UPSI dan institusi pendidikan tinggi Indonesia pada masa hadapan.