Delegasi guru-guru Fizik dan Sains beserta wakil PPD dari Daerah Lipis bersama staf di Jabatan Fizik, FSM, UPSI.Delegasi guru-guru Fizik dan Sains beserta wakil PPD dari Daerah Lipis bersama staf di Jabatan Fizik, FSM, UPSI.

Oleh: Pn. Mazlina Mat Darus, Dr. Izan Roshawaty Mustapa, Dr. Anis Diyana Halim, Dr. Siti Nursaila Alias, Dr. Mohd Syahriman Mohd Azmi, Ts. Dr. Mohd Norzaidi Mat Nawi dan Prof. Madya Dr. Faridah Lisa Supian.

TANJONG MALIM, 27 OGOS 2025 – Seramai 40 orang peserta yang terdiri daripada
guru-guru Fizik (sekolah menengah) dan Sains (sekolah rendah) dari daerah Lipis, Pahang telah menyertai Bengkel Pemerkasaan Ilmu & Pedagogi Guru Abad Ke-21 anjuran bersama Jabatan Fizik dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lipis yang berlangsung pada 27 Ogos 2025 bertempat di Pusat STEM Fakulti Sains dan Matematik, UPSI.

Selain daripada guru-guru, bengkel ini turut disertai oleh Encik Ahmad Daniar Ismail selaku Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Sektor Pembelajaran), Puan Zamaliah Zahari (Pegawai SISC+ Sains & Matematik), Encik Afizal Ahmad Pahmin (Pengerusi Panitia Sains Sekolah Rendah), Encik Sabarudin Awang (Timbalan Pengerusi Panitia Sains Sekolah Rendah) dan Puan Rafezah Hassan (Pengerusi Panitia Fizik Sekolah Menengah).

Uniknya bengkel ini turut melibatkan guru-guru yang merupakan Anak Kandung Suluh Budiman yang bergraduat sekitar tahun 2005/2006, iaitu hampir 20 tahun lepas.

Para peserta bersama fasilitator bagi sesi penerangan konsep  Inquiry-Based Science Education (IBSE)
Penentuan indeks biasan bagi blok kaca dalam sesi IBSE

Bengkel selama sehari ini menerapkan pendekatan Inquiry-Based Science Education (IBSE) dalam pemantapan pedagogi guru-guru. Sesi ini telah dikendalikan oleh Dr. Anis Diyana Halim dan Dr. Siti Nursaila Alias yang memfokuskan kepada kaedah dan teknik dalam pelaksanaan pembelajaran berasaskan inkuiri di sekolah.

Bagi aktiviti ‘Hands-On’ pula merangkumi tiga modul utama iaitu Modul Optik yang dikendalikan oleh Puan Mazlina Mat Darus dan Encik Mohammad Azmir Mohammad Zamri, diikuti oleh Modul Elektrik & Elektronik yang telah diketuai oleh Ts. Dr. Mohd Norzaidi Mat Nawi dan Encik Noor Mazlan Mohamed dan juga Modul Elektromagnet yang diselaraskan oleh Dr. Izan Roshawaty Mustapa, Dr. Mohd Syahriman Mohd Azmi dan Encik Mohd Faisal Mohd Yassin.

Para guru mencuba ujikaji pantulan cahaya menggunakan bahan-bahan DIY.
Para guru mencuba ujikaji pantulan cahaya menggunakan bahan-bahan DIY.

Aktiviti-aktiviti ini adalah berfokuskan kepada isu dan cabaran dalam pelaksanaan amali fizik dan sains di sekolah meliputi isu kekangan alat radas serta kesukaran mempraktikkan teori.

Ujikaji menunjukkan lintasan cahaya bergerak lurus dan konsep pembiasan cahaya.

Kaedah alternatif turut diperkenalkan dalam merangka eksperimen menggunakan bahan-bahan ringkas berkonsepkan DIY bagi memberi idea dan membantu guru-guru menterjemahkan teori menjadi realiti.

Modul Optik memberi fokous pada konsep cahaya bergerak lurus, prinsip pantulan, pembiasan, interferens dan pembelauan cahaya serta konsep pembentukan imej oleh kanta.

Modul Elektrik dan Elektronik memberi tumpuan kepada konsep Hukum Ohm dan rintangan, serta demonstrasi kit rektifikasi modular bagi topik diod di peringkat sekolah menengah. Bagi subjek Sains sekolah rendah, penekanan diberikan kepada pemahaman konsep litar selari dan litar bersiri.

Aktiviti ‘Hands-On’ dan demonstrasi dalam Modul Elektrik & Elektronik.
Aktiviti ‘Jom Teroka Elektromagnet’.
Aktiviti ‘Jom Teroka Elektromagnet’.

Aktiviti pemasangan litar ringkas turut disokong dengan kaedah simulasi bagi menyampaikan konsep sambungan litar, yang boleh dijadikan sebagai bahan bantu mengajar untuk guru di sekolah.

Bagi Modul Elektromagmet pula, aktiviti “Jom Teroka Elektromagnet” diketengahkan dalam meyampaikan konsep medan magnet dan aruhan elektromagnet.

Pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan bagi membantu dan memudahkan guru-guru dalam menyampaikan konsep-konsep penting dengan cara yang paling ringkas tetapi menarik.

Usaha ini diharapkan dapat memanfaatkan para guru dan pelajar mereka di sekolah bagi menyemai minat dalam menerokai bidang sains.

Alumni graduan 2005/2006 bersama para pensyarah.
Sesi penyampaian cenderahati oleh wakil Jabatan Fizik, Profesor Madya Dr. Faridah Lisa Supian dengan wakil PPD Lipis, Encik Afizal Ahmad Pahmin.

Berdasarkan maklum balas yang diterima di akhir program, guru-guru memberikan maklumbalas yang amat baik dan teruja dengan semua aktiviti yang telah dijalankan sepanjang pelaksaaan bengkel ini.

Antara komen-komen positif turut menyatakan keinginan untuk kembali belajar dan melanjutkan pengajian di UPSI.

Moga aktiviti seperti ini serta kerjasama erat antara pihak UPSI, PPD dan pihak sekolah dapat diteruskan lagi di masa akan datang bagi membuka lebih banyak peluang dan mempelbagaikan kaedah dalam memperkasakan pendidikan di Malaysia.