Fasa kemuncak gerhana bulan yang berjaya dirakam pada pukul 2.40 pagiFasa kemuncak gerhana bulan yang berjaya dirakam pada pukul 2.40 pagi

Oleh: En. Wan Zul Adli Wan Mokhtar, En. Mohd Faisal Mohd Yassin, Ts. Dr. Afiq Radzwan dan Dr. faudzi Umar

Tanjong Malim, 8 September 2025 – Langit malam di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjadi saksi kepada fenomena semesta yang jarang berlaku apabila gerhana bulan penuh muncul pada 8 September 2025.

Walaupun fenomena ini hanya berlaku sekitar dua hingga tiga tahun sekali di Malaysia, Stargazers UPSI yang bernaung di bawah Jabatan Fizik, Fakulti Sains dan Matematik (FSM) tidak melepaskan peluang untuk merakam dan mendokumentasikan peristiwa langit yang menakjubkan ini.

Fenomena gerhana bulan penuh kali ini bermula pada jam 12.26 tengah malam dan berlarutan sehingga tamat fenomena.

Kemuncak gerhana berlaku pada jam 2.10 pagi, apabila bulan kelihatan berwarna kemerahan akibat cahaya matahari yang dibelokkan oleh atmosfera bumi.

Warna merah ini kekal selama kira-kira 1 jam, menjadikan bulan seolah-olah menyala di langit malam. Fenomena ini, yang dikenali sebagai “Blood Moon”, hanya dapat disaksikan sepenuhnya beberapa tahun sekali dan menjadi antara peristiwa astronomi yang paling dinantikan oleh peminat langit di seluruh dunia.

Bertempat di Blok 5, Kampus Sultan Azlan Shah, pencerapan bermula seawal 11.30 malam dan berlangsung sehingga.

Program ini dikendalikan oleh unit stargazers tiga tenaga akademik UPSI dari Jabatan Fizik, FSM, iaitu En. Wan Zul Adli bin Wan Mokhtar dan Ts. Dr. Afiq Radzwan, pensyarah Fakulti Sains dan Matematik, bersama En. Mohd Faisal bin Mohd Yassin, Pembantu Pegawai Sains.

Meskipun hanya melibatkan tiga orang tenaga pelaksana, usaha ini mencerminkan dedikasi tinggi FSM dan Jabatan Fizik dalam memperkukuh budaya ilmu serta menerajui aktiviti astronomi di peringkat universiti.

Sebanyak empat buah teleskop digunakan sepanjang sesi pencerapan bagi mendapatkan sudut terbaik rakaman gerhana.

Walaupun keadaan cuaca pada malam tersebut dilitupi awan tebal pada sesetengah fasa, ketiga-tiga pencerap tetap berjaya mengumpul rakaman video dan foto yang signifikan.

Malah, keindahan gerhana turut dikongsikan secara langsung melalui platform TikTok rasmi Stargazers UPSI, membolehkan orang ramai mengikuti fenomena ini walaupun tidak berada di lokasi.

Fasa terakhir gerhana bulan yang dirakam pada pukul 3.30 pagi
Fasa terakhir gerhana bulan yang dirakam pada pukul 3.30 pagi

Menurut Ts. Dr. Afiq Radzwan, fenomena ini bukan sekadar tontonan indah di langit malam, malah menjadi peluang penting untuk mendidik masyarakat mengenai sains angkasa dan astronomi.

“Gerhana bulan penuh mengingatkan kita bahawa alam semesta ini sentiasa bergerak dan bercerita melalui fenomenanya. Walaupun hanya tiga orang yang mencerap di lapangan, usaha ini tetap membawa nilai besar kepada UPSI dalam mendokumentasikan khazanah langit untuk tujuan pendidikan, penyelidikan, dan inspirasi kepada generasi muda,” jelas beliau.

Bagi Stargazers UPSI, yang diterajui oleh Jabatan Fizik, FSM, pencerapan kali ini membuktikan bahawa meskipun berdepan kekangan cuaca dan bilangan pencerap yang terhad, semangat untuk memartabatkan ilmu astronomi tetap utuh.

Dokumentasi yang berjaya dihasilkan akan menjadi rujukan serta bahan pendidikan untuk kuliah, seminar, dan program kesedaran awam yang dianjurkan pada masa hadapan.

Lebih penting, usaha ini secara langsung menyokong teras BITARA 2.0 UPSI khususnya dalam aspek kecemerlangan akademik, inovasi ilmu, serta keterlihatan antarabangsa.

Melalui pencerapan gerhana bulan penuh ini, FSM melalui Jabatan Fizik bukan sahaja mendokong agenda melahirkan pendidik berwibawa, malah turut memperkukuh peranan universiti dalam membudayakan sains, teknologi, dan astronomi di peringkat nasional dan global.